KUALA LUMPUR: DAP menuntut supaya Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi mengemukakan bukti atau menarik balik dan meminta maaf atas fitnah bahawa DAP akan mencetak 100,000 naskhah Bible Bahasa Malaysia yang menggunakan kalimah 'Allah'.

 

“Fitnah Mohd Puad tidak masuk akal dan tidak berasas sama sekali,” ujar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan.

 

Katanya, fitnah Mohd Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran langsung tidak masuk akal kerana DAP tidak pernah terlibat dalam hal ehwal agama.

 

Tegasnya, pendirian parti menganggap agama itu adalah hal peribadi dan tidak harus dipergunakan atau dipolitikkan.

 

Malah, ujarnya DAP tidak mempunyai sumber kewangan atau keupayaan untuk mencetak dan mengedar 100,000 naskhah Bible Bahasa Malaysia.

 

“Malangnya, fitnah yang tidak masuk akal oleh pemimpin Umno ini disiarkan dalam semua akhbar kawalan Umno iaitu New Straits Times, Berita Harian dan Utusan Malaysia,” kata beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

 

Puad telah dipetik sebagai berkata dalam sidang akhbar di Putrajaya bahawa “Parti pembangkang (DAP) bercadang untuk mencetak sekurang-kurangnya 100,00 naskhah Bible dan mengedarkannya secara percuma di beberapa negeri, termasuk Kedah dan Kelantan”.

 

“Di ambang pilihan raya umum, adakah Umno akan meneruskan fitnah yang tidak masuk akal terhadap DAP demi memenangi undi dengan mendakwa bahawa DAP sebenarnya yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan model Mongolia Shaariibuugiin Altantuya?” tanya beliau.

 

Justeru, katanya DAP berasa meluat dengan taktik Umno yang bertujuan untuk membangkit kebencian terhadap DAP di kalangan masyarakat Islam dan juga di kalangan masyarakat agama-agama lain di Malaysia.

 

“Saya akan mengarahkan pemimpin-pemimpin DAP untuk membuat laporan polis terhadap Puad dan ketiga-tiga akhbar kawalan Umno esok kerana menyebarkan fitnah yang tidak masuk akal dan bertujuan untuk mengacau ketenteraman awam.

 

“DAP juga akan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Puad dan ketiga-tiga akhbar kawalan Umno tersebut,” tegasnya.

 

Menurutnya, DAP bukan parti yang tidak jujur dan bersikap ‘baling batu, sembunyi tangan’ seperti Umno dan BN yang suka main kotor dan tidak mengaku kesilapan.

Share on Myspace