KUALA LUMPUR:
Timbalan Pengarang Berita Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Mohd Ashraf Abdullah bersetuju bahawa pihaknya perlu membuat rujukan daripada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagi memastikan berita yang dilaporkan tidak lari daripada maksud sebenar sesuai dengan prinsip adil dan tepat.

Katanya, pihaknya mengakui tidak membuat rujukan serta tidak mendapatkan kenyataan daripada Nizar (plaintif) tentang kesahihan berita tersebut sebelum menyiarkannya di Buletin Utama.

Bagaimanapun beliau tidak bersetuju bahawa TV3 bersikap tidak adil dan tepat dalam mengeluarkan berita dalam Buletin Utama berhubung isu WWW1 pada 30 mei tahun lalu itu.

Bercakap dalam perbicaraan kes saman itu semalam, Ashraf sebagai defendan bagaimanapun berkata, TV3 menepati prinsip adil dan dalam memaparkan berita tersebut.

Peguam Nizar, Mohd Fitri Asmuni turut mempersoalkan kenapa pihak defendan tidak memaparkan Twitter asal Ahli Parlimen Bukit Gantang itu dalam berita tersebut.

Ashraf yang lebih 30 tahun dalam bidang tersebut menjawab ianya tiada keperluan untuk dipaparkan sebaliknya katanya kenyataan Nizar itu telah diolah menjadi menjadi berita.

Peguam Nizar mengatakan kepada defendan adakah tindakan tidak memaparkan twitter asal plaintif adalah bertujuan untuk meyakinkan penonton tentang berita TV3 namun ianya tidak dipersetujui oleh defendan.

Mohammad Nizar sebelum ini telah mengambil keputusan menyaman media tersebut setelah memfitnahnya dengan mengatakan beliau menuduh Sultan Johor menggunakan wang rakyat untuk membida plat kenderaan WWW1.

Perbicaraan di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur itu akan bersambung 11 Januari depan jam 10 pagi.

Share on Myspace