KUALA LUMPUR: Mohamad Sabu menyatakan sokongan kepada pendirian PAS dalam isu penggunaan kalimah Allah.

 

“Saya bukan ahli agama, tapi saya menyokong apa yang telah diputuskan oleh Mursyidul Am PAS (Tuan Guru Nik Aziz) dan Presiden PAS (Tuan Guru Abdul Hadi) dalam isu penggunaan kalimah Allah,” kata Timbalan Presiden PAS itu kepada Harakahdaily.

 

Beliau turut menjelaskan tidak mengikuti perkembangan isu kalimah Allah yang tercetus sejak Krismas yang lalu kerana baru saja pulang dari luar negara.

 

“Jadi kenyataan Tuan Ibrahim saya pun tak baca lagi,” kata beliau.

 

PAS telah menyatakan pendirian boleh menerima bahawa orang Kristian berhak menggunakan nama Allah dalam gereja atau sebarang upacara agama mereka sebagaimana keputusan sebelum ini.

 

Manakala, PAS berpendirian terjemahan Bible harus mengikut teks asal di mana Bible Bahasa Melayu harus menggantikan istilah ‘God’ dengan 'Tuhan' dan bukannya 'Allah' untuk mencerminkan maksud sebenar daripada teks asal.

 

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman baru-baru ini.

 

Mohamad berkata ketika menjawab soalan wartawan-wartawan yang menelefonnya, beliau hanya merujuk kepada penggunaan kalimah Allah secara awam di mana PAS telah memutuskan bahawa orang bukan Islam boleh menggunakannya.

 

“Saya tidak merujuk kepada terjemahan kitab Bible tapi hanya penggunaan kalimah Allah secara general,” kata beliau.

Share on Myspace