Deklarasi R: 2013 Tahun Tuntut Royalti

Aslani M & Yusri Amin | .

KOTA BHARU: “2013 Tahun Tuntut Royalti" terkandung dalam Deklarasi Rakyat 2013 yang diserah Gabungan Professional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (R) kepada Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam.


(Sultan Kelantan menandatangani plak tuntutan Royalti)

 

R juga menuntut setiap Rabu diisytiharkan sebagai hari memperingati perjuangan menuntut royalti.

 

Manakala kakitangan kerajaan negeri, agensi-agensi dan syarikat milik kerajaan hendaklah memakai baju korporat kempen "2013 Tahun Tuntut Royalti" atau baju batik berwarna merah.

 

R juga menuntut slogan "2013 Tahun Tuntut Royalti" dijadikan moto rasmi kerajaan negeri dengan menjadikan simbol "R" sebagai logo rasmi kerajaan negeri.

 

R turut menyarankan plak titah Sultan Muhammad V  mengenai pendaratan gas ke Kelantan ditampalkan di pejabat dan premis kerajaan negeri.

 

 

Deklarasi itu juga menyarankan kerajaan negeri hendaklah mewujudkan Urusetia Tuntut Royalti bagi mempastikan perjuangan menuntut royalti menjadi kenyataan.

 

Presiden R, Nazri Deraman berkata, kajian mengenai kesedaran tentang isu royalti dan perbelanjaan atau penggunaan wang hasil royalti wajar dilakukan.

 

“Kerajaan negeri wajar menubuhkan syarikat khusus bagi menguruskan perniagaan dalam bidang petro kimia dan perniagaan hiliran.

 

“Langkah-langkah drastik dari sudut perundangan hendaklah diambil bagi mendapatkan hak bayaran royalti, hak pendaratan minyak dan gas serta hak pembangunan industri petro kimia,” katanya di sini.

 

Turut dituntut kerajaan negeri membawa tuntutan royalti ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

 

R turut menyarankan setiap kenderaan kerajaan negeri, agensi dan syarikat milik kerajaan negeri hendaklah ditampal sticker "R" atau "2013 Tahun Tuntut Royalti".

 

Kerajaan Negeri juga perlu menandakan sempadan laut Kelantan bagi mengelakkan sebarang pertikaian mengenai hak ke atas telaga minyak dan gas di antara pihak-pihak yang berkepentingan.

 

“Kerajaan negeri juga hendaklah mengambil kira beberapa undang-undang berkaitan dan sempadan Kelantan sebelum menyertai Persekutuan Tanah Melayu,” ujarnya.

 

Sementara itu hari ini R melancarkan Misi Cycling For Royalty (C4-R) Kota Bharu-Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di hadapan Kompleks Kota Darulnaim.

 

Pelancaran itu disempurnakan anggota Exco, Datuk Abdul Fattah Mahmood. Hadir sama Timbalan Exco Belia, Sukan dan NGO, Abdul Latif Abdul Rahman dan Presiden R, Nazri Deraman.

 

Pengarah program, Jeming Hassan berkata, program berkenaan bertujuan menyemarakan semangat kebangkitan rakyat dalam isu tuntutan royati yang kini berjumlah RM10.8 bilion.

 

Selain itu bagi menyebarkan maklumat royalti kepada rakyat di negeri-negeri yang dilalui iaitu Terengganu, Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur.

 

“Ini merupakan satu mekanisme bagi mengalakkan penyertaan lebih ramai rakyat ke Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari 2013 nanti di Stadium Merdeka,” katanya.

 

Sebanyak sembilan penunggang basikal menyertai jelajah itu hari ini ke Kok Lanas sejauh 23 km. Siri jelajah R itu meliputi jarak lebih 700 km.

Share on Myspace