Amanat: Presiden PAS sedia dailog dengan Jakim

Khairul Azlam Mohamad | .

KEMAMAN: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sedia mengadakan dialog dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan syarat dirakamkan pertemuan itu.

 

Katanya, ia sama seperti yang pernah diundang ke Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) rakaman perlu dibuat dengan Jakim.

 

“Saya minta rakaman. Saya berdailog dengan Jakim kena buat rakaman. Macam dengan Ikim, saya pernah pergi. Saya boleh pergi Jakim tetapi dengan buat rakaman, rakaman sepenuhnya. Saya minta orang saya rakam. Saya setuju tapi dengan rakaman,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

 

Beliau berkata demikian kepada media sempena lawatan serta menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Kemaman, di Surau Kampung Jaya Batu 2, Chukai, hari ini. (Gambar atas)

 

Manakala, katanya, syarat satu jam diberi peluang secara ‘live’ di saluran RTM1 dan TV3 tidak berubah bagi menjelaskan isu ‘amanat’ tersebut.

 

Menurutnya, rakaman berkait dengan penjelasan isu ‘amanat’ ditolak kerana dibimbangi akan berlaku putar-belit yang mengelirukan rakyat.

 

Malah, kata Ustaz Abdul Hadi, pihaknya tidak perlu membuat surat permohonan kepada kerajaan kerana telah diumumkan melalui media.

 

“Saya sudah beritahu saluran RTM iaitu TV1 dan TV3. Rasmilah tu, dan terpulang kepada dia untuk tentu, tapi secara ‘live’ (langsung) bukan rakaman. Sebab rakaman tak boleh, dia mesti jujur, mesti ikhlas untuk cari kebenaran,” jelasnya.

 

Bahkan, beliau bersetuju jika digandingkan dengan mana-mana pihak dalam majlis tersebut dengan syarat satu jam secara langsung di saluran tv berkenaan.

 

Sebelum ini, Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata jabatan itu akan terlebih dahulu memanggil Ustaz Abdul Hadi berhubung amanat terbabit yang didakwa membawa kepada perpecahan umat Islam di negara ini.

Share on Myspace