PAS arah jentera bantu mangsa banjir

| .

 

KUALA LUMPUR: PAS menyeru semua jenteranya dan orang ramai memberikan bantuan kepada mangsa banjir kerana masalah mereka belum selesai dengan surutnya air banjir ini.

Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat (LKKPP), Dr Siti Mariah Mahmud (gambar) berkata,   walaupun ramai yang telah dapat pulang ke rumah masing-masing, cabaran  yang bakal dihadapi  pasca banjir seperti memperbaikii kerosakan rumah dan menggantikan barangan serta peralatan rumah yang rosak sudah tentu menuntut perbelanjaan yang banyak.

Tambahan pula bagi keluarga yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah, semua persediaan peralatan dan buku sekolah juga mungkin sudah tidak dapat dipakai langsung.

Mengikut anggaran yang diberi oleh pihak kerajaan dan media jumlah mangsa yang terpaksa dipindahkan sudah melebihi daripada 6,000 orang dan mungkin akan mencecah 7,000 orang.

Walaupun ada pelbagai pihak telah memberi sumbangan melalui NGO dan sebagainya, Dr Siti Mariah meminta ahli PAS khasnya untuk menyumbang melalui Dana Kami Prihatin, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat supaya bantuan  dapat disalurkan dan diagihkan kepada mangsa melalui petugas-petugas parti dinegeri-negeri yang terlibat.

Ini juga dapat memastikan pengagihan yang lebih merata dapat dilakukan oleh PAS kawasan atau DUN dan tidak tertumpu kepada tempat-tempat tertentu sahaja.

Dengan cara ini juga ahli-ahli dapat menyumbang kepada amal jamaie yang dipelopori PAS.

Laporan yang diterima beliau memberitahu, ada kampung atau tempat yang tidak mencukupi dana untuk turut membantu mangsa banjir.

(Presiden PAS turut turun padang bagi membantu mangsa banjir)

 

Sumbangan wang tunai / cash diperlukan untuk memberi bantuan anak-anak  memulakan persekolahan, untuk membaiki rumah dan juga membayar pendahuluan pembelian bahan-bahan makanan  yang telah dibekalkan kepada mangsa semasa banjir melanda.

LKKPP menyarankan setiap keluarga ahli PAS menyumbang untuk membantu pembelian peralatan atau pakaian sekolah untuk satu orang anak mangsa yang dianggarkan dalam RM100 seorang.

Sumbangan-sumbangan lain berbentuk beras, gula dan lain-lain juga diterima dan dihantarkan ke pusat pengumpulan sementara LKKPP  di Pusat Khidmat Masyarakat (DUN Lembah Jaya) di No 47, Jalan Dagang, Taman Dagang Jaya, Ampang atau hubungi Pn Hjh Rohainah (013 3407441).
Sumbangan kewangan boleh dimasukkan terus ke DANA KAMI PRIHATIN, BANK ISLAM 1211 3010 0261 50.

Dr Siti Mariah memohon kerjasama semua LKKPP Kawasan untuk menggerakkan kutipan sumbangan ahli dan penyokong PAS dan sumbangan tersebut dimasukkan terus ke akaun Dana Kami Prihatin dan seterusnya menghantar mesej kepada nombor 019 2361889 (Pengerusi) atau 0193575857 (Bendahari) untuk memaklumkan kemasukan deposit dan seterusnya untuk pengeluaran resit resmi dari LKKPP.

"Kepada yang telah menghulurkan sumbangan LKKPP, bagi pihak PAS  mengucapkan jazakallah hukhairan kathira," katanya.

Share on Myspace