(Lajim ketika bercakap dengan Harakahdaily semalam)

 

KOTA KINABALU: Pakatan Rakyat Sabah yakin dapat menawan 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah pada Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Lajim Ukin berkeyakinan penuh selain dari 35 kerusi Dun, Pakatan Rakyat juga turut dapat memenangi 15 kerusi Parlimen di negeri itu.

"Saya berkeyakinan pada PRU13 nanti kita (Pakatan Rakyat) dapat memenangi 32 hingga 35 kerusi Dun dari 60 kerusi yang dipertandingkan dan membolehkan kita mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

"Selain itu juga 15 kerusi parlimen akan turut kita perolehi bagi membantu Pakatan Rakyat menawan Putrajaya," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Lajim yang dalam pada itu turut mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang masih mengganggapkan Sabah sebagai 'fixed deposit' mereka pada pilihanraya nanti.

Malah jelas Lajim lagi, jika Najib yang masih berkeyakinan kenapa sehingga sekarang beliau masih belum yakin untuk membubar parlimen dan memberi laluan kepada PRU13.

"Ketika saya di dalam Majlis Tertinggi Umno sebelum ini, ada agensi melaporkan kedudukan Umno-BN di sabah adalah 52 peratus memihak kepada mereka, manakala 48 peratus pula kepada Pakatan Rakyat.

"Tetapi maklumat tersebut bercanggah dengan  apa yang disalurkan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan juga Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang menyatakan Barisan Nasional akan kalah di Sabah," katanya.

Tambah beliau atas sebab percanggahan maklumat itulah menyebabkan Najib dan juga pemimpin tertinggi Umno termasuk Timbalan Perdana Menteri terpaksa berulang-alik ke Sabah untuk mencari undi mereka.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) juga memberitahu tiada sebab untuk rakyat Sabah menolak Pakatan Rakyat pada PRU13 nanti.

Ini kerana Pakatan Rakyat yang mendahului Barisan Nasional dalam mendengari masalah dan penderitaan rakyat Sabah sebelum ini terutamanya dalam pemberian 20 peratus royalti minyak kepada Sabah dalam usaha meningkatkan kebajikan rakyat.

Share on Myspace