(Adram, Exco Pemuda PAS, menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir)

 

BESUT: Penduduk Kampung Padang Bual, Besut mendakwa, mereka menghadapi banjir tahun ini yang tidak pernah berlaku dalam sejarah kampung mereka kerana ia adalah 'banjir buatan manusia'.

Inilah yang diberitahu kepada rombongan lima Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang turun padang membantu mangsa banjir kali ini.

Pada 29 Disember 2013 Dewan Pemuda PAS Malaysia menghantar satu rombongan yang diketuai oleh setiausahanya Saudara khairul Faizi Ahmad Kamil bagi menghantar bantuan kepada mangsa banjir.

Rombongan ini juga disertai oleh Bendahari DPPM Ir. Haji Khairil Nizam, Ketua Lajnah kebajikan DPPM Adram Musa, Pengarah Jabatan Penerangan dan Media Baru Nurul Islam Mohamed Yusoff dan Pengarah IPS Syahir Sulaiman.


(Empangan ini didawa punca kepada banjir di Kg Bual)

 

Setibanya di Besut daerah pertama yang dilawati, PAS Besut membawa rombongan ini melawat Kampung Padang Bual.

Kampung yang tidak pernah dilanda banjir ini dikatakan telah dilanda banjir "buatan manusia" apabila penduduk kampung mengatakan sebuah empangan yang masih dalam pembinaan berdekatan kampung mereka dipecahkan kerana gagal menampung air dan hampir pecah.

Di kampung ini seramai 230 rumah terlibat dengan banjir 'buatan manusia' dan kerugian dianggarkan RM5000 - RM10000 setiap rumah dan RM20000 - RM 30000 setiap premis perniagaan.

Ketika menyalurkan bantuan rata-rata penduduk melahirkan kekecewaan terhadap kerajaan negeri dan agensi agensinya yang dilihat tidak bersedia dalam menghadapi musim banjir kali ini.

Sebanyak RM5000 kepada Unit Amal dan barangan keperluan kepada mangsa banjir telah diserahkan pada hari tersebut oleh rombongan ini.

 

Projek Pembangunan Empangan Paya Peda ini terletak di daerah Besut kira-kira 17 kilometer dari Bandar Jerteh.

(Papan tanda projek empangan yang menimbulkan masalah kepada penduduk kampung)

 

Dewan Pemuda PAS Malaysia diberitahu bahawa Jaks Resources Berhad diamanahkan untuk menyiapkan projek ini dengan kerjasama Pembinaan Sujaman Sdn Bhd bermula 19 November 2009 dan dijangka siap pada Julai 2013.

Projek ini mendapat peruntukkan dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia sebanyak RM333 juta bagi membiayai projek tersebut. Akan tetapi, catatan CIDB menunjukkan nilai sebenar projek hanyalah RM166,549,799.42.

Pada 25 Disember, Sinar Harian melaporkan ‘Benteng Empangan Paya Peda terpaksa dipecah’. Menteri Besar Terengganu Dato’ Ahmad Said membuat kenyataan bahawa empangan terpaksa dipecahkan demi mengurangkan risiko tekanan.

Akibatnya sejumlah 1000 penduduk dipindah ke pusat pemindahan banjir(sesetengah akhbar melaporkan lebih kurang 2000 penduduk terlibat (230 buah rumah).

 

Kemaman

Keesokan harinya rombongan DPPM dibawa ke Kampung Pasir Raja, Kemaman untuk menziarahi mangsa banjir disana.

 

(Jambatan ini putus akibat dari arus air yang deras semasa banjir baru-baru ini)

 

Seramai 250 buah keluarga menjadi mangsa kali ini.

"Di sini juga kami dapati keluhan sama diluahkan mangsa banjir. Bagaimana agensi kerajaan tidak bersedia menghadapi musim banjir kali ini," kata Mohd Adram Musa,
Ketua Lajnah kebajikan DPPM.

Penduduk juga mengucapkan terima kasih kepada Unit Amal Terengganu yang cepat dalam menghulurkan bantuan dan melaksanakan kerja kerja pemindahan sebelum agensi kerajaan tiba.

Pihak Dewan Pemuda PAS Malaysia telah menyerahkan sumbangan RM10000 dan barangan keperluan harian kepada pihak PAS KAWASAN Kemaman untuk diserahkan kepada mangsa banjir.

Dewan Pemuda PAS Malaysia juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyumbang Tabung Kemanusiaan Pemuda dan ingin merayu sumbangan tambahan dimana sumbangan ini akan digunakan untuk kerja kerja kemanusiaan dalam dan luar negara.

Share on Myspace