(Lajim dan Aminudin Aling dalam sidang media semalam)

 

 

KOTA KINABALU: PAS Sabah bersedia berunding semula dalam pembahagian kerusi bagi menghadapi piliharaya umum ke 13 nanti demi kebaikan rakyat di Sabah.

Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminudin Aling memberitahu, PAS sebelum ini telah mengadakan perbincangan dengan PKR dan DAP serta telah mendapat keputusan kedudukan kerusi bagi parti masing-masing.

Namun tambah beliau lagi, apabila terdapat pengumuman baru mengenai kemasukan Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) dan Angkatan Perpaduan Sabah (APS) dalam Pakatan Rakyat di Sabah, maka sekretariat Pakatan peringkat negeri akan mengadakan pertemuan bagi membincangkan kedudukan kerusi.

"Kita dari awal lagi sudah mengadakan perbincangan dengan parti utama dalam Pakatan Rakyat dan persetujuan telah diperolehi bagi kedudukan kerusi di negeri ini.

"Bila ada pengumuman terbaru mengenai kemasukan PPPS dan APS dalam Pakatan Rakyat maka kita akan mengadakan pertemuan dengan segera bagi memdapat keputusan tentang kedudukan kerusi," jelasnya pada sidang media selepas masjis Pelancaran PPPS di Kota Kinabalu semalam.

Tambah beliau lagi, perkara tersebut telah pun dimaklumkan kepada Pengerusi PKR Sabah, Ahmad Thamrin Jaini bagi mencari waktu yang sesuai untuk perbincangan.

"Keputusan berapa kerusi yang kita bertanding itu biarlah diputuskan oleh pucuk pimpinan utama PAS dan Pakatan Rakyat.

"Kita (PAS) bersedia mengurangkan kerusi bagi memberi laluan kepada dua parti baru, niat kita bukan sekadar untuk bertanding tetapi kita mahu Pakatan memenangi pilihanraya nanti sekaligus dapat membentuk kerajaan di Sabah mahupun di Putrajaya," tambah beliau lagi.

Sementara itu, Datuk Seri Lajim Ukin menjadi calon pertama Pakatan yang diumumkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di Parlimen Beaufort.

Anwar turut menyatakan jumlah kedudukan kerusi hanya akan diumumkan apabila keputusan diperolehi melalui perbincangan di peringkat tertinggi parti.

Malah katanya lagi, kesemua parti di dalam Pakatan Rakyat mempunyai kesefahaman dan sentiasa bertolak ansur dalam rundingan tersebut.

"Saya tidak ada apa-apa masalah dengan APS, PAS mahupun DAP. Kita hanya bertanding di kawasan majoriti Islam dan perbincangan dilakukan bersama PAS.

"Manakala bagi kawasan yang bukan majoriti Islam perkara itu antara PKR dan APS, itu persetujuan yang telah kita capai sebelum ini," kata beliau.

Lajim menambah, Pakatan Rakyat Sabah telah mendapat keputusan yang positif dan jelasnya lagi matlamat utama hanya untuk pembentukan kerajaan baru dan juga kebaikan seluruh rakyat Sabah.

Share on Myspace