PAS cadang henti pecah pengundi ikut kaum

| .

KUALA LUMPUR: PAS hari ini mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya tidak lagi memecahkan pengundi sesuatu kawasan mengikut komposisi kaum semata-mata.

“Cukuplah rakyat dan negara ini di’pakai’kan cermin mata berdasarkan pecahan kaum – Malaysia boleh bergerak ke arah lebih makmur dan berpadu sekiranya kita memakai kacamata yang lebih menjurus ke arah perpaduan,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim berkata sedemikian sebagai cadangan tambahan kepada cadangan bekas Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman agar daftar pemilih disediakan setiap tiga tahun sekali apabila pilihan raya umum baru menjelang tiba.

Beliau berkata pecahan pengundi mengikut kaum semata-mata selama lima dekad telah mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada perpaduan kaum di dalam negara kerana seluruh rakyat Malaysia, kerajaan dan terutamanya ahli-ahli politik akan berbicara segala permasalahan negara daripada sudut kaum semata-mata seperti yang sedang berlaku pada waktu ini.

“Pecahan pengundi mengikut kaum dibuat SPR selama ini juga dipercayai dibuat mengikut selera dan pecahan parti komponen BN, yang semuanya terdiri daripada parti berdasarkan kaum untuk memudahkan setiap parti komponen untuk menjaga undi kaum masing-masing,” tambah beliau.

Sudah tiba masanya, kata beliau, perkara ini dirombak dengan SPR mengeluarkan pecahan pengundi mengikut usia mahupun jantina sebagai data rasmi yang disalurkan kepada media dan rakyat.

Data yang dipecahkan mengikut kaum tidak perlu dikeluarkan secara khusus melainkan ada keperluan, tegas Tuan Ibrahim (gambar).

“Jika pecahan pengundi dilakukan mengikut usia sebagai contoh:

21-34 tahun: 35%

35-50 tahun: 40%

50-60 tahun: 15%

60 tahun ke atas: 10%


"Berdasarkan data-data sedemikian, parti-parti dan ahli-ahli politik akan berbicara mengenai keperluan masyarakat mengikut usia, dan secara automatik isu-isu yang dibangkitkan akan meliputi semua kaum,” terang Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Bekas Adun Jengka ini juga berhujah bahawa cara sedemikian boleh mengurangkan risiko berlakunya keadaan masa kini di mana ada pihak-pihak yang sengaja menggunakan sentimen agama dan bangsa untuk meraih undi dan melaga-lagakan kaum demi mendapat keuntungan politik murahan.

Tuan Ibrahim juga berpendapat bahawa pecahan undi mengikut perspektif jantina juga boleh mengurangkan risiko ahli politik menggunakan isu perkauman dan agama untuk merai undi.

"Sambil SPR membersihkan daftar pengundi, pecahan pengundi baru mengikut usia boleh dilaksanakan kerana ia tidak susah kerana segala maklumat sudah ada pada kad pengenalan pengundi,” terangnya lagi.

Selain itu, Tuan Ibrahim berkata PAS juga mencadangakan agar sistem pilihanraya dirombak untuk memastikan pembangkang sentiasa wujud dan efektif untuk manfaat rakyat dengan kerajaan menyediakan satu dana bagi parti-parti politik yang bertanding.

“Kaedah ini diguna di beberapa buah negara bagi mengelak parti tersebut mendapat dana dari pelbagai pihak dalaman dan luaran, sehingga menyebabkan parti akan 'terhutang budi' dengan penyumbang tersebut.

Peruntukan kewangan boleh ditentu berdasarkan undi popular yang diterima semasa pilihanraya umum.

"Harus diingat persaingan politik menyebabkan rakyat akan lebih mendapat perhatian daripada parti pemerintah, dan komentar lebih baik dari parti  pembangkang,” hujah beliau.

Selain itu, katanya, PAS juga mencadangkan agar sistem pilihanraya dirombak mengikut peratusan undi yang diperolehi oleh setiap parti.

Jumlah peratusan undi akan mewakili parti tersebut di dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Kaedah ini ternyata lebih adil bagi parti yang bertanding, di mana jumlah kerusi parlimen dan DUN adalah berdasarkan peratus undi popular yang diterima keseluruhannya, kata Tuan Ibrahim.

“Ini mengelakkan manipulasi persempadanan semula yang memboleh parti pemerintah terus memerintah walaupun tewas undi popular di seluruh negara kerana kerusi-kerusi strategik dengan jumlah pengundi yang rendah dimenangi dengan banyak,” tambah beliau lagi.

Share on Myspace