Isu  kawasan medan minyak yang baru di temui di Blok PM 307 Bertam kini sedang menjadi pertikaian hebat antara kerajaan negeri Terengganu dan kerajaan Pahang.

Setakat ini, belum ada apa-apa kenyataan resmi yang dikeluarkan oleh pihak Petronas bagi menjelaskan kedudukan sebenar kawasan telaga minyak Bertam itu, samaada ia benar-benar berada didalam perairan negeri Pahang atau Terengganu.

Sementara itu, Tuanku Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dalam titahnya berhubung kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, mengenai status kawasan minyak itu, baginda telah meminta semua pihak supaya menghormati keputusan kerajaan berkaitan hak milik kawasan minyak Bertam.

Baginda tidak mahu perkara itu diperbesarkan kerana kawasan telaga minyak itu sudahpun diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi milik Pahang;

“Tak apalah, semuanya sudah diputuskan oleh Perdana Menteri sendiri dan beta juga telah dimaklumkan mengenai perkara itu pada Hari Keputeraan beta baru-baru ini. Apa pun, rakyat Pahang perlu bersyukur kepada Allah SWT dengan kurniaan itu”.

Namun kini timbul persoalan besar, apabila syarikat Lundin Oil yang merupakan syarikat carigali bagi melaksanakan kerja-kerja carigali di kawasan Bertam dengan kerjasama Petronas Carigali membuat 'pengesahan'.

Syarikat  yang berpangkalan di Sweden itu telah mengesahkan ‘secara bertulis’ kepada kerajaan Terengganu bahawa penemuan telaga minyak baru itu adalah terletak di kawasan perairan Terengganu.

Negeri Terengganu juga dijangka akan memperoleh royalti tambahan sebanyak RM100 juta setahun atau pertambahan sebanyak lima peratus.

Di sini timbul persoalan besar, soal perlembagaan negara dan kedaulatan sesebuah negeri yang berada dibawah sistem Federalisma sepertimana yang wujud dinegara kita.

Hak dan kepentingan negeri Terengganu yang berdaulat semestinya tidak boleh dinafikan dengan sewenang-wenangnya kerana ia mempunyai implikasi yang amat besar terhadap perlembagaan negara.

 

Sebarang tindakan yang bertentangan dengan perlembagaan sudah pasti akan menghilangkan keyakinan rakyat Terengganu terhadap sistem pemerintahan serta kredibiliti pemimpin negara.

Ini ditambah lagi dengan kedudukan Terengganu sekarang ini ‚terumbang-ambing‘ dan dinafikan hak “royalti minyak“ oleh Kerajaan Persekutuan sejak lebih dua-belas tahun yang lalu.

Sumber hasil minyak dan gas yang terdapat di perairan Terengganu hanya di salurkan melalui ‘Dana Khas‘  dengan ‘mengehsankan’ royalti minyak Terengganu di bawah Dana Khas Persekutuan.

Tindakan ini jelas bertentangan dengan semangat Federalisma serta menzalimi rakyat Terengganu yang majoritinya Melayu dan beragama Islam.

Jika  dilihat dari sudut perlembagaan negara dan semangat Federalisma, timbul pula persoalan perjanjian asal ‘Perjanjian Petroleum 1974’  diantara kerajaan-kerajaan negeri dengan Petronas yang ditandatangani pada tahun 1975.

Perjanjian ini jelas menjamin hak royalti sebanyak 5 peratus kepada negeri-negeri yang ditemui hasil minyak dan gas di perairan sempadan negeri masing-masing.

Apakah segala perjanjian yang termeterai ini kini boleh dicabul dengan begitu mudah oleh kerajaan Persekutuan tanpa menghormati mana-mana kerajaan negeri yang berpegang kepada semangat Federalisma?


Apakah kedudukan negeri Terengganu sekarang ini boleh dianggap sebagai sebuah negeri yang ‘tidak berdaulat’ kerana setiap perjanjian antara negeri dan Persekutuan dengan begitu mudah boleh di cabuli?


Dan apakah Perdana Menteri sekarang ini mempunyai ‘Kuasa Mutlak’ sehinggakan tidak perlu lagi menghormati semangat Federalisma yang menjadi tunjang bagi mengikat setiap negeri termasuk Terengganu di bawah sistem Persekutuan?

Sudah cukup dengan ‘royalti minyak’ Terengganu yang ‘diehsankan’. Lihat sahajalah bagaimana rakusnya dan tidak beramanahnya ia dibelanjakan dengan semewah-mewahnya oleh ‘penyangak-penyangak politik’ yang berkepentingan.

Berapa banyak wang rakyat yang di bazirkan dengan projek Monsoon Cup, projek Stadium yang runtuh, pojek bebas cukai di Kenyir, projek lebuhraya LPT 2 yang kesemuanya menelan belanja berbilion ringgit hasil dari royalti minyak’ Terengganu yang ‘diehsankan’?

Apakah rakyat Terengganu yang terkenal dengan sifat kesantunannya yang tinggi kini dilihat terlalu lemah sehingga tidak mampu lagi mempertahankan maruah mereka sendiri walaupun jelas hak rakyat dan kedaulatan negeri Terengganu kini sedang tercabar hebat?

Dan dimanakan pula maruah dan harga diri kepimpinan Menteri Besar dan kepimpinan kerajaan negeri sekarang ini yang dilihat oleh kalangan rakyat sebagai ‘boneka‘ dan ‘kuda tunggangan‘ yang tidak berani mempertahankan hak dan kedaulatan negeri Terengganu?

Ya, maruah dan hak negeri ‘Darul Iman’ ini mesti dipertahankan oleh setiap rakyat tanpa mengira fahaman politik dan agama; negeri Terengganu adalah negeri yang berdaulat, negeri yang berpayung dibawah Tuanku Al-Sultan, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud.

Justeru itu, hak Bertam dan royalti minyak mesti dipertahankan..



* Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS yang juga Adun Batu Burok, Terengganu. Email: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. , Twitter; @syedazman

Share on Myspace