Mapim saran jadikan 2013 ‘Tahun Rakyat’

Harakahdaily | .

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyeru agar tahun 2013 dijadikan ‘Tahun Rakyat’.

 

Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata, ini penting kerana bukan sahaja tahun ini rakyat  akan melalui Pilihan raya Umum ke-13, malah ia juga adalah detik perubahan untuk rakyat mengembalikan fikrah politik dan pembangunan negara yang lebih baik.


Malangnya, kata beliau media arus perdana menjadi pembentuk cara berfikir rakyat  yang sangat terkongkong, lebih parah lagi media yang mengguna wang rakyat diguna untuk merosakkan pemikiran rakyat.

Menurutnya, salah satu pemikiran negatif yang sedemikian lama dipupuk oleh media arus perdana ialah sikap hidup bergantung.

Jelas, ujarnya jika rakyat terus berfikir terbelenggu dalam pemikiran bahawa kerajaan adalah penentu segalanya, maka ciri rakyat yang matang tidak akan dapat direalisasikan.

 

Justeru, kata beliau rakyat harus berani keluar dari faham kewarganegaraan yang bergantung semuanya kepada kerajaan dan membiarkan kerajaan memaksakan rakyat patuh hanya kerana kerajaan menabur bantuan untuk mengikat kesetiaan rakyat.

“Kami menyeru agar rakyat tidak melepas peluang untuk menjadikan tahun 2013 sebagai tahun yang akan membawa lembaran baru dalam politik negara,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

 

Beliau berkata, rakyat patut menegaskan  azam yang kuat untuk membasmi segala penyelewengan yang telah sarat menjadi amalan dalam urus kelola pemerintahan.


Rakyat juga, ujar beliau perlu sedar bahawa kepimpinan yang bersih dan bertanggungjawab serta kuat berpegang kepada prinsip agama sangat diperlukan untuk menerajui pemerintahan negara.

 

Katanya, jika tahun 2013 masih melanjutkan kerajaan yang sarat dengan pemimpin yang menyalahguna kuasa, kuasa diguna untuk berlindung dari menghadapi pendakwaan akan meletakkan negara pada posisi yang pincang, tidak dihormati di kaca mata dunia.

“Jika tahun 2013 tidak menjadi tahun rakyat melonjakkan kuasanya untuk memperbetulkan kepincangan dalam negara ini, masa depan negara akan malap,” katanya.

 

Mohd Azmi menambah, Mapim menegaskan sistem demokrasi bukan sempurna, namun dengan ruang yang ada untuk rakyat menterjemahkan sikap menolak kerajaan yang mengkhianati rakyat dalam pilihan raya yang mendatang, maka rakyat tidak harus mengenepikan peluang ini untuk menunaikan tanggungjawabnya  memperbetulkan keadaan.



Share on Myspace