Amanat: Ulama PAS tunggu ulama Umno debat

Aslani M | .

KOTA BHARU: Dewan Ulamak PAS Kelantan sedia berdebat dan berhujah dengan mana-mana ulama Umno berkaitan Amanat Haji Hadi yang cuba ditimbulkan semula sekarang.

 

Timbalan Ketuanya, Ustaz Hassan Mahmood berkata, perdebatan itu perlu disiarkan secara langsung bagi membolehkan rakyat mendapat penjelasan secara mendalam.

 

“PAS tidak pernah menuduh Umo kafir, tetapi PAS menjelaskan batas-batas iman dan kufur sebagaimana yang tertera dalam apa yang dinamakan Amanat Tuan Guru Haji Hadi.

 

“Sesiapa sahaja yang menolak dan mempermainkan Islam boleh terkeluar daripada Islam. Ini yang perlu difahami rakyat dan bukannya membuat tomahan melulu tanpa nas dan adatnya,” katanya di sini.

 

Amanat tersebut diulang semula pemimpin-pemimpin Umno dan beberapa mufti setiap kali menjelang pilihan raya dengan harapan bagi mengelirukan rakyat.

 

Amanat terbabit dirujuk berdasar kepada ucapan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada satu ceramah di Panggol Peradong, Manir pada 1981.

 

Hassan berkata, Amanat Haji Hadi tidak merosakkan akidah tetapi sebaliknya amanat pemimpin Umno yang mempermainkan hukum Islam boleh menjejaskan akidah.

 

Menurutnya amanat Haji Hadi sebenarnya menjelaskan hukumnya apabila seseorang yang mengaku beraama Islam tetapi mempermudah serta mempermainkan isu-isu berkaitan agama.

 

Kata beliau pemimpin Umno perlu berdepan dengan realiti sebenar sekiranya mereka benar-benar ikhlas memperjuangkan Islam.

 

“Dewan Ulamak PAS Kelantan bersedia untuk tampil pada debat tersebut biar pun sebelum ini debat seumpama itu pernah dipersetujui namun Umno menarik diri di saat-saat akhir.

 

“Rakyat perlu diterangkan siapa yang menolak pelaksanaan hukum Islam, sedangkan Islam sebagai al-Din bagi mengaturcara kehidupan manusia termasuk pemerintahan negara.

 

“Umno sampai hari ini sanggup menerima selain perundangan Islam sebagai perlembagaan. Ini bererti Umno dan BN menolak tuntutan Islam,” katanya.

 

Hassan berkata, PAS sebagai sebuah gerakan Islam tetap memperjuangkan Islam sebagai akidah dan politik sebagaimana tertera dalam perlembagaannya.

 

Menurutnya juga jika diteliti kepada sejarah, pemimpin Umnolah yang menghalang pelaksanaan hudud di Kelantan selama ini.

 

“Apabila Umno tidak mahu menerima pelaksanaan undang-undang Islam sejak 50 tahun lalu mereka sebenarnya telah mengkhianati umat Islam yang sebelum ini berpegang dengan undang-undang Islam.

 

“Umnolah yang menukarnya dengan mengambil undang-undang penjajah sehingga kekal pada hari ini,” tambahnya yang juga Adun Tawang.

Share on Myspace