Penafian Isa perlu difahami 'sebaliknya', kata Mazlan

Harakahdaily | .

KUALA LUMPUR: Kenyataan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang menafikan beliau melobi untuk jawatan pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) disifatkan sebagai 'baling batu sembunyi tangan'.

Pengerusi Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, beliau tidak pelik dengan penafian Isa itu malah menganggapnya 'skrip lama' yang digunakan untuk menempatkan diri beliau dalam jawatan tertinggi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).

"Sewaktu dia 'promote' FGV, dia juga nafi bahawa dia ada kepentingan. Tapi akhirnya dia yang jadi pengerusi FGV.

"Dia juga kata tidak akan sentuh sedikitpun aset peneroka. Akhirnya dia tubuh syarikat Felda Asset Holdings yang pegang 20% kepentingan peneroka dalam FGV yang dia sendiri jadi pengerusi," kata Mazlan kepada Harakahdaily.

Justeru itu kata Mazlan, penafian oleh Isa itu perlu difahami 'sebaliknya' seperti rekod yang telah berlaku sebelum ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penafian Isa yang dilaporkan media hari ini.

Isa dalam kenyataan itu dilapor menafikan beliau pernah melobi supaya namanya dicalonkan untuk bertanding sebagai pengerusi KPF.

"Itu (penafian) stail dia (Isa). Walaupun dia cuba nafikan, tapi beranikah dia menolak bukti-bukti yang ada pada kita. Kita ada bukti," kata Mazlan lagi.

Sebelum ini, Anak mendedahkan wujud konspirasi peringkat tertinggi dipercayai untuk membolehkan Isa dilantik sebagai Pengerusi KPF bagi tujuan menyenaraikan KPF ke dalam FGV.

Konspirasi itu dakwanya bermula dengan mengarahkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), mengeluarkan surat menyatakan Mesyuarat Agung perwakilan (AGM) KPF pada 20 jun lalu tidak sah dan perlu diadakan semula.

AGM semula itu sepatutnya berlangsung pada 27 Disember iaitu hari ini namun ianya terpaksa dibatalkan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin lalu yang membenarkan permohonan KPF membatalkannya.

Share on Myspace