KUALA LUMPUR: Meansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) antara 10 agenda utama Pakatan Rakyat (Pakatan) dalam mereformasikan hala taju pentadbiran negara secara keseluruhan.

 

 

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, untuk menjana ekonomi negara, reformasi terhadap sistem pendidikan amat perlu, kerana ia berkait rapat antara satu sama lain, lapor KeadilanDaily.

 

“Pakatan melihat pemansuhan PTPTN sebagai reformasi kepada aspek pendidikan negara. Apabila ada perubahan dalam pendidikan, sekaligus ia akan menyumbang kepada penjanaan ekonomi di pelbagai bidang lain.

 

“Itu yang BN tak faham. Mereka ingat ini hanya gula-gula pilihan raya kerana mereka sudah biasa memberikan ‘gula-gula’ kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi.

 

Rafizi berkata, jika berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan baru, Pakatan akan lihat secara total beban kewangan yang ditanggung rakyat dan negara.

 

Katanya, berdasarkan tanggungan PTPTN sekarang, ia bukan saja membebankan penghutang, tetapi negara juga akan terbeban dalam tempoh 10 tahun akan datang.

 

Jelas Rafizi, dalam tempoh 10 tahun, jumlah hutang yang diberi dengan jumlah dibayar semakin tidak seimbang, seterusnya menyebabkan negara terkesan teruk.

 

“Paling ketara sekarang, kos pendidikan tinggi menjadi semakin mahal. Di masa akan datang hanya golongan kaya yang mampu sambung belajar,” tambahnya.

 

Rafizi sebelum ini mendedahkan bahawa kerajaan hanya menanggung RM24.7 bilion jika PTPTN dimansuhkan, berbeza dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mencanangkan jumlah itu sebanyak RM43 bilion.

 

Antara kaedah yang dicadangkan Rafizi dalam melupuskan RM24.7 bilion hutang PTPTN itu adalah dengan memperkenalkan pelaburan tetap dalam sektor pendidikan sebanyak RM2 bilion setahun daripada hasil minyak Petronas.

 

Selain itu, beliau berkata, konsolidasi (penyatuan) Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) perlu untuk mengurangkan jumlah IPTS yang selama ini menelan pembiayaan PTPTN.

 

“Kita mahu IPTS yang betul-betul berprestij diwujudkan dan bukan sekadar IPTS yang dibuat di atas rumah kedai. Kalau institusi pengajian tinggi percuma banyak di negara ini, maka IPTS akan bersaing sesama mereka dan akan memberikan perkhidmatan yang terbaik sahaja,” katanya.

Share on Myspace