Penahanan Umar: Satu lagi tragedi negara

| .

(Umar dibotakkan apabila dipenjarakan walaupun hanya 3 hari - Foto Malaysiakini)

 

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) semalam telah hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi  bersama-sama menyambut pembebasan, aktivis 'Ocupy Dataran' Umar Muhammad Azmi.

Mahkamah Tinggi telah membebaskan Umar yang ditahan di Penjara Kajang sejak Jumaat lalu dengan jaminan sebanyak RM5,000. Umar telah dibebaskan kira-kira jam 3.30 petang semalam.

Wakil DPPM yang hadir ialah Raja Ahmad Iskandar, Naib Ketua Pemuda,  Khairul Faizi Ahmad Kamil selaku Setiausaha,  Yusapiza Yaacob dan Kamaruzaman Mohamad iaitu Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Dalam mengulas isu ini, Raja Ahmad Iskandar telah menyatakan kekesalannya terhadap apa yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan UMNO/BN terhadap mahasiswa.

Bagi beliau, penahanan mahasiswa ini merupakan suatu tragedi yang amat memalukan negara kerana mahasiswa dipenjarakan hanya kerana duduk di Dataran Merdeka sahaja.

Penahanan ini juga katanya merupakan satu lagi episod kezaliman dan ketidakadilan kerajaan UMNO/BN kepada rakyat.

Beliau mengulangi janji Pakatan Rakyat untuk menyediakan pendidikan percuma kepada semua rakyat kerana ianya merupakan isu semua kaum.

Raja Iskandar juga berharap agar isu penahanan mahasiswa ini menjadi azimat kepada semua mahasiswa di Malaysia ini untuk bangkit dalam menyatakan hak.

"Mahasiswa kini bukan hanya menjadi pejuang isu-isu kampus tetapi juga menjadi pejuang kepada isu-isu rakyat," tambah beliau lagi.

Umar Muhammad Aziz telah ditahan ketika serbuan mengejut di Dataran Merdeka pada 22 April yang lalu.

Tragedi tersebut berlaku ketika mahasiswa sedang berkhemah membantah Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Beliau dimasukkan ke Penjara Kajang sejak Jumaat lalu dan dibebaskan pada petang semalam.

Aktivis 'Occupy Dataran' ini bagaimanapun perlu menunggu keputusan rayuan beliau ke mahkamah yang lebih tinggi.

Share on Myspace