AES: Tiada perbicaraan, tapi diminta hadir
| Muhammad Faeez Azahar, | 25 Dis 2012 |
TAIPING: Perbicaraan kes pertama kesalahan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Perak semalam tidak berlaku ekoran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mendaftarkan kes tersebut di mahkamah.
Seramai 20 mangsa saman sistem tersebut diminta hadir ke Mahkamah Majistret Taiping semalam, dan hanya lima daripadanya hadir namun dimaklumkan bahawa perbicaraan kes terhadap mereka tidak ada.
Peguam mewakili mangsa, Asmuni Awi berkata, oleh kerana mahkamah mengatakan kes itu tidak didaftarkan bermakna kes itu tidak wujud.
Menurutnya, pihak JPJ sepatutnya memaklumkan lebih awal kepada mangsa saman tersebut agar tidak menimbulkan kesukaran kepada mereka
"Mangsa-mangsa saman yang yang hadir dari jauh seperti Pulau Pinang berasa sangat kecewa dan seolah-olah dipermainkan apabila mengetahui perbicaraan terpaksa dibatalkan.
"Mereka terpaksa menghabiskan wang ringgit, masa dan memohon cuti untuk hadir bicara tetapi mereka kecewa sebaik mendapat makluman daripada mahkamah," katanya ketika ditemui Harakahdaily di luar mahkamah.
Mengulas lanjut, beliau berkata, anak guamannya berasa sangat kecewa dengan sikap pihak kerajaan kerana tidak serius tentang kes tersebut dan ianya menyebabkan mereka semakin marah kepada kerajaan.
AJK PAS Pusat itu menjelaskan, beberapa lagi kes akan dibicarakan minggu hadapan di negeri itu termasuklah di Mahkamah Majistret Slim River dan Mahkamah Tinggi Ipoh.
"Kami bagi pihak peguam PAS sentiasa bersedia memberi khidmat guaman kepada mangsa saman AES dan mengajak rakyat terus berjuang menentang sistem ini," tegas beliau.
Hadir sama ialah peguam, Mohd Fitri Asmuni; Yang Dipertua PAS Taiping, Ustaz Fakhruddin Abdul Aziz; Adun Aulong, Yew Tian Ho dan orang ramai bagi memberikan sokongan kepada mangsa saman tersebut.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

