TEMERLOH: PAS Pahang menganggap Umno dan BN negeri ini kekeringan idea dalam usaha memancing undi rakyat menjelang Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) sehingga sanggup meniru idea Pakatan Rakyat (PR) Pahang.

 

 

Ketua Penerangan PAS Pahang, Suhaimi Saad (gambar) berkata sudah dua tawaran PR diulang balik oleh Adnan iaitu dahulu menyediakan lot-lot tapak rumah, sekarang mahu menyelesaikan urusan tanah pula.

 

“Nampak sangat Umno BN dah kering idea, bayangkan dah 55 tahun negara merdeka kerajaan masih gagal memberikan keselesaan kepada rakyat sehingga terpaksa berjanji meniru tawaran PR.

 

“Saya yakin banyak lagi tawaran PR akan diciplak kerana mereka tidak ada idea. Jadi bolehkah rakyat memberikan harapan kepada golongan yang bankrap idea ini?” soalnya ketika ditanya mengenai janji Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang disiarkan akhbar hari ini.

 

Dalam kenyataan tersebut, Adnan ketika berkempen di Jerantut, memberi jaminan akan menyelesaikan permohonan tanah oleh rakyat negeri ini selepas selesai PRU13.

 

Sebelum ini, rata-rata rakyat mengeluh akibat kesukaran dan kelewatan untuk memohon satu kelulusan tanah sehingga terpaksa menempuh antara 20 ke 30 meja di Pejabat Tanah Daerah, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

 

Akibatnya, untuk pelupusan tanah kerajaan, urusan pemilikan dan sebagainya, rakyat terpaksa menunggu masa antara 10 hingga 20 tahun.

 

Dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang di Kerdau baru-baru ini, PR telah menjanjikan Tawaran 6+3 kepada rakyat negeri ini.

 

Tawaran pertama PR ialah menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat Pahang yang tidak mempunyai tanah dan rumah kediaman serta menstruktur semula Kampung-kampung Baru dan Kampung Tersusun.

 

Tawaran kedua pula ialah menyelesaikan permohonan tanah yang sekian lama dipohon oleh rakyat Pahang sekiranya permohonan tersebut benar-benar layak, wajar dan memenuhi syarat.

 

Adnan juga sebelum ini, mengatakan kerajaan BN bersedia menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat selepas PRU nanti.

 

Dalam pada itu, Suhaimi berkata, rakyat mesti melihat BN sudah tidak mampu menghasilkan idea dan hanya bergantung kepada idea ciplak termasuk tawaran 100 hari PR diambil oleh Kerajaan BN.

 

“Selama 55 tahun rakyat menunggu dan memberi peluang kepada BN namun janji hanya tinggal janji selepas  PRU. Apa yang boleh diharapkan kepada kerajaan yang sudah tua di mamah usia  untuk menyelesaikan masalah rakyat?

 

“Bagi PAS Pahang juga, tawaran yang sebutkan oleh Adnan itu seperti terdesak dan tidak ikhlas. Kenapa mesti tunggu selepas  PRU kalau benar dia ikhlas nak selesaikan masalah rakyat?” soal Suhaimi.

 

Keratan akhbar kenyataan Adnan hari ini.

Share on Myspace