(Pengiraan undi menunjukkan majoriti rakyat Mesir menyokong perlembagaan baru Mesir)

 

KUALA LUMPUR: PAS merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh rakyat Mesir yang majotirinya telah menyatakan sokongan terhadap draf perlembagaan baru negera itu.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat Datuk Kamarudin Jaffar berkata, keputusan terbaru itu membuktikan tahap kematangan rakyat Mesir berperanan dalam sebuah negara demokrasi.

"Bagi PAS, kita melihat ini satu keputusan sangat baik untuk pentadbiran baru Mesir.

"Semoga ianya mampu memacu Mesir ke arah menjadi sebuah negara demokrasi yang lebih membangun," kata Kamarudin (gambar kanan) kepada Harakahdaily.

Ikhwanul Muslimin, kumpulan yang menyokong parti kepimpinan Presiden Mohammed Morsi, kelmarin mengumumkan 'keputusan akhir' tidak rasmi selepas dua pusingan pengundian yang menunjukkan 64.01 peratus mengundi menyokong perlembagaan baru berbanding 35.99 peratus menentang.

Pada pengundian pusingan pertama 15 Disember lalu yang diadakan di sepuluh wilayah mencatatkan 56.2 peratus menyokong dan 43.4 peratus menolak.

Pada pengundian pusingan kedua di 17 wilayah kelmarin pula menyaksikan 71.43 peratus rakyat Mesir menyokong dan 28.57 peratus tidak menyokong perlembagaan baru itu.

Draf perlembagaan baru, digubal susulan kebangkitan rakyat tahun lalu yang membawa kepada kejatuhan Presiden Hosni Mubarak.

Share on Myspace