KUALA LUMPUR: Industri kartun dan komik tanahair bergenre satira politik bertambah meriah apabila muncul sebuah lagi buku kartun bertajuk 'Negaraku' karya kartunis Ronasina.

Dengan bertemakan 'koleksi kartun satira rakyat', buku hasil karya bekas editor majalah Gedung Kartun terbitan Sepakat Efektif Sdn Bhd (telah diharamkan) ini mampu mencuit hati dengan lukisan dan tulisan yang sinis, pedas dan berani.

Isu yang digarap adalah isu nasional seperti kemiskinan, rasuah, penyelewengan kuasa, tangkapan tanpa bicara, pembunuhan kejam terhadap mangsa tahanan serta kerenah lucu ahli politik tanahair khususnya dari pihak parti pemerintah.

"Sebagai kartunis, saya menyampaikan keluh-kesah suara rakyat terhadap kebejatan sosial serta kezaliman pemerintah melalui lakaran kartun. Seniman dan karyawan punya peranan masing-masing untuk menyedarkan rakyat terhadap apa yang berlaku sekarang.

"Buku Negaraku ini adalah antara koleksi kartun dan tulisan humor saya untuk memberi peluang rakyat menilai seterusnya berfikir dengan waras akan kebenarannya," ujar Ronasina yang juga pernah melukis dan menulis di akhbar portal online Merdekareview.com.

Kulit muka hadapan dan belakang buku ini dihiasi dengan lukisan kartun perhimpunan rakyat di Dataran Merdeka dengan dihadiri oleh rakyat Malaysia berbagai lapisan bangsa.

Setebal 96 muka surat, buku ini juga turut memuatkan cerpen sempena Bersih 2.0 dahulu bertajuk 'Hikayat Penyakit Kuning' dan 'Kak Ijat Kampung Lembah' yang menceritakan seorang wanita berasa sedih apabila penduduk kampung sering mentertawakan dirinya yang mempunyai hobi pelik bermain dengan lembu-lembu ternakannya.

"Sedikit perbezaan berbanding buku kartun politik pengkarya lain, saya turut juga melukis drama empat muka surat bertajuk 'Suatu Hari di Lebuhraya' mengisahkan tiga lelaki upahan sedang menunggu ketibaan bas Jelajah Merdeka Rakyat untuk dibalingkan batu, cat merah dan kayu.

"Walaupun ia sebuah cerita rekaan tetapi isu yang diselitkan amat kita ketahui dan tidak dapat disangkal kebenarannya. Selain itu, drama lima muka surat Bomoh Puaka juga adalah kisah sinis tentang pemimpin yang gemar berurusan dengan bomoh demi mengekalkan kuasa," katanya lagi.

Kartunis Ronasina, 39 tahun (gambar) yang juga aktif dengan persembahan pentas seperti membaca sajak dan mengacara majlis ini turut juga mencuit pembaca dengan lakaran yang diambil dari babak filem-filem P.Ramlee  dan diubah mengikut senario politik semasa seperti adegan di dalam filem Ali Baba Bujang Lapok di mana ketua penyamun berbasikal menuju gua yang penuh harta karun diikuti penyamun-penyamun yang lain.

Wajah ketua penyamun dan penyamun-penyamun itu diubah kepada wajah karikatur pemimpin negara sedang mengendong harta rompakan.

Selain itu ada juga lakaran trio Seniman Bujang Lapok berbasikal sambil menyanyi dengan wajah yang diubah kepada ahli politik tanahair, babak di dalam filem Pendekar Bujang Lapok dan lain-lain lagi.

Ada juga lukisan aktres Marilyn Monroe, potret Monalisa, patung Statue Of Liberty dan lain-lain yang berimejkan suasana politik Malaysia. Pendek kata, buku koleksi kartun Negaraku ini mempunyai keistimewaannya tersendiri yang sesuai dimiliki oleh rakyat Malaysia yang cintakan ilmu dan berfikiran positif.

Pelancaran buku Negaraku ini akan diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor (KLSCAH) jam 9.00 malam esok.

Share on Myspace