Penduduk kesal PAKR 12 tahun terbengkalai

Khairil Abdul Rahim | .

MARAN: Penduduk sekitar Chenor dekat sini, kesal dengan kegagalan pemaju yang dilantik kerajaan BN menyiapkan projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Taman Jaya Diri 2, sehingga mereka terpaksa menunggu selama 12 tahun kerana terbengkalai.

 

 

Lebih mengecewakan mereka, projek sebanyak 186 buah rumah itu seolah-olah menjadi umpan kerana setiap kali menjelang pilihan raya umum (PRU), pihak kerajaan akan memanggil pemohon untuk ditemuduga.

 

Menurut seorang pemohon yang enggan disiarkan namanya, tapak perumahan berkenaan mula disodok sebaik selesai PRU 1999 dan beliau telah dua kali dipanggil temuduga iaitu sebelum PRU 2004 dan PRU 2008.

 

“Saya pernah diberitahu oleh pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bahawa perumahan tersebut sudah ada pemiliknya tetapi pihak pemaju tidak menghantarnya untuk proses pinjaman di bank kerana rumah masih gagal disiapkan.

 

“Pada awalnya kami rumah kembar kos rendah ini ditawarkan dengan harga RM35 ribu, tetapi saya yakin jika perjanjian dibuat nanti kami tidak akan dapat lagi harga itu... itulah yang ruginya bila terbengkalai,” katanya.

 

Beliau berkata, akibat terbengkalai kebanyakan dinding rumah-rumah di situ telah banyak yang retak, tingkap dan longkang dipecahkan dan semak samun mulai memasuki rumah.

 

Projek PAKR itu dimajukan oleh syarikat J & S Holding Sdn Bhd (dengan kos sendiri) di bawah ‘projek silang’ Kerajaan Negeri Pahang di mana kerajaan menukar projek tersebut dengan tanah seluas 65 ekar di Mukim Bukit Segumpal sebagai anugerah.

 

Rumah memiliki dua bilik tidur itu dibuka kepada warga Chenor yang layak dan difahamkan, lebih 500 pemohon ditemuduga pada setiap kali.

 

Sementara itu, dalam lawatan kami ke tapak projek, terdapat beberapa buah jentera diletakkan di situ untuk menunjukkan kerja-kerja sedang berjalan.

 

Bagaimanapun dakwa seorang penduduk, mereka tidak mahu tertipu lagi, kerana setiap kali menjelang PRU begitulah keadaannya. Tetapi selepas BN menang semula, projek tersebut kembali ditinggalkan.

 

“Yang kami kesalkan kenapa kerajaan sendiri membisu seribu bahasa, kenapa tidak didesak pemaju supaya segerakan projek jika itu jika benar-benar mengamalkan slogan rakyat didahulukan?,” soalnya.

 

Sementara itu bekas Ketua Kampung Awah Md Yusoh Mohd Zin, 78, ketika ditemui, mengesahkan tanah yang diambil oleh kerajaan negeri seluas 65 ekar di Kampung Awah diberikan kepada pemaju perumahan berkenaan merupakan tanah berkelompok milik JKKK Kampung Awah dan Belia kampung berkenaan.

 

Dalam pada itu Penyelaras Dewan Undangan Negeri PAS (Dun) Chenor, Ramli Abdul Rahman, berkata sepatutnya kerajaan negeri mengambil tindakan kepada pemaju yang telah dilantik kerana syarikat tersebut telah diberi tanah.

 

“Dalam keadaan seperti ini kerajaan negeri wajar bertindak termasuk memberi suntikan wang jika pemaju berkenaan tidak mampu lagi kerana rumah berkenaan akan dijual kepada pemohon, bukannya diberi percuma.

 

“Sepatutnya sebagai kerajaan yang prihatin, tak payahlah nak berkira sangat dengan rakyat. Kalau boleh habiskan wang untuk projek membazir lain, kenapa tidak untuk rakyat

 

“Sekarang ini orang Chenor rugi kerana rumah yang sepatutnya boleh dimiliki 186 keluarga untuk tempat berteduh tak siap. Manakala orang Kampung Awah pula rugi kerana tanah mereka diambil walaupun tanah itu pada asalnya milik mereka,” katanya.

 

Ramli turut meminta pihak berkuasa memeriksa dan disiasat dahulu perumahan tersebut selama ada selamat atau tidak sebelum diberikan hak milik kerana beliau difahamkan sudah banyak dinding yang sudah retak.

Share on Myspace