Ke mana sisa Lynas dieksport atau henti operasi

Harakahdaily | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan dan Lynas Corporation perlu menyatakan dengan jelas di mana sisa Lynas akan dieksport dahulu sebelum kilang dibenarkan operasi untuk memproses nadir bumi.

 

“Yang pasti, negara asal sumber nadir bumi itu, Australia tidak mahu menerimanya, sebagaimana mereka tidak mahu memberi kelulusan kepada syarikat Lynas sendiri untuk beroperasi di negara sendiri,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

 

Justeru, beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat menegaskan kerajaan mesti menghalang operasi harian di kilang LAMP di Gebeng, Kuantan selagi syarikat tersebut gagal menjelaskan di mana sisa akan dibuang, walaupun mahkamah telah memberi kebenaran untuk Lynas beroperasi, namun syarat lesen tol mesti dipatuhi.

 

Berikut kenyataan penuh beliau.

 

Kerajaan Persekutuan BN dan Lynas Corporation perlu menyatakan dengan jelas di mana sisa Lynas akan dieksport  dahulu sebelum kilang dibenarkan operasi untuk memproses nadir bumi.

 

Kenyataan empat Menteri BN, Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sumber Asli Datuk Seri Douglas Unggah Embas Dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa syarikat Lynas Corporation Australia perlu mengeksport sisa yang terhasil daripada loji di Gebeng untuk memenuhi syarat lesen pengendalian sementaranya (TOL) adalah tidak mencukupi tanpa menuntut Lynas untuk menyatakan dengan jelas di mana sisa radioaktif kilang Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) itu akan dieksportkan.

 

Yang pasti, negara asal sumber nadir bumi itu, Australia tidak mahu menerimanya, sebagaimana mereka tidak mahu memberi kelulusan kepada syarikat Lynas sendiri untuk beroperasi di negara sendiri.

1. Kerajaan mesti menghalang operasi harian di kilang LAMP selagi syarikat tersebut gagal menjelaskan di mana sisa akan dibuang, walaupun mahkamah telah memberi kebenaran untuk Lynas beroperasi, namun syarat lesen tol mesti dipatuhi.

 

2. Kerajaan mesti menuntut surat atau dokumen perjanjian daripada Lynas untuk mengesahkan mereka sudah menjumpai negara yang sanggup menerima sisa-sisa radioaktif tersebut.

 

3. Kerajaan juga mesti menuntut Lynas memperjelaskan bagaimana syarikat tersebut mengatasi kekangan undang-undang antarabangsa yang menghalang penghantaran bahan berbahaya ke negara lain seperti yang dinyatakan pengarah urusan Lynas Malaysia Mashal Ahmad dalam laporan Guang Ming Daily.

 

Apakah Menteri Pahang sanggup berjanji sekali lagi untuk telinganya yang satu lagi dipotong dan terjun Sungai Pahang sekiranya Lynas gagal mengeluarkan apa-apa dokumen rasmi perjanjian, pelan dan negara mana yang sanggup menerima sisa toksik kilang LAMP?

Keadaan ini mesti ditangani segera, kerana bahan mentah nadir bumi telahpun sampai di kilang, dan syarikat Lynas akan memulakan operasinya. PAS Pahang ingin tegaskan bahawa kerajaan mesti bertegas dalam soal keselamatan rakyat dan risiko dari projek ini.


Rakyat Pahang khasnya bimbang sisa tersebut akan tetap berada di Pahang, kerana tiada negara sanggup menerimanya, sedangkan syarat lesen operasi ialah sisa toksik mesti dibawa keluar dari negara ini.

Rakyat tidak akan teragak agak untuk berkumpul di hadapan kilang Lynas, sekiranya kilang ini memulakan operasinya tanpa menjelaskan ke mana sisa ini akan dihantar.

 

Rakyat Pahang ingin melihat surat rasmi dari Lynas dan kesediaan negara mana yang sanggup terima sisa bahaya ini. Ketiadaan negara sanggup menerima sisa membuktikan ianya bahaya bagi alam sekitar dan manusia, dan inilah yang rakyat perlu memahami kenapa Pakatan Rakyat bertegas menentang projek ini.

 

Tanpa surat rasmi akan timbul persoalan dan spekulasi - jika tiada negara yang sanggup menerimanya, dan demi meneruskan operasi harian untuk mematuhi syarat TOL, apakah ada kemungkinan sisa toksik Lynas dibuang ke perairan laut antarabangsa di Laut China Selatan sebagai langkah mudah?

Share on Myspace