KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berdoa agar Allah memanjangkan umur ahli-ahli Umno dan Barisan Nasional (BN) agar mereka sama-sama dapat menghancurkan parti tersebut.

"Yang kita minta dihancurkan ialah parti Umno dan parti BN serta politik zalim parti tersebut.

"Ahli-ahli dan para penyokong Umno dan BN pula kita mohon doa agar Allah panjangkan umur mereka kerana kita perlukan rakan dan kawan untuk sama-sama menghancurkan kekuasaan dan politik zalim parti yang memerintah itu," katanya.

Mahfuz mengambil contoh syarikat dan pemilik syarikat.

"Selalu kita lihat syarikat yang diisytihar bankrap, pemilik tidak diisytihar bankrap.

"Begitulah juga dalam hal ini, kita mohon Allah hancurkan Umno BN bukan ahli-ahli atau penyokong-penyokong Umno BN," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, pada bila-bila masa pun tidak pernah ada arahan dari PAS supaya mendoakan kehancuran ahli-ahli dan para penyokong Umno dan BN.

"Yang didoakan ialah supaya Allah menghancur dan menjahanamkan parti yang zalim, bukan mana-mana ahli atau penyokong mana-mana parti.

"Kehancuran parti Umno dan BN yang zalim tidak bermakna sama sekali kehancuran ahli-ahli atau penyokong-penyokongnya," kata beliau.

Mahfuz juga memohon agar Allah menjauhkan sama sekali kehancuran ahli-ahli dan para penyokong Umno BN.

"Malah, kita mohon Allah melindungi mereka kerana kita mengharapkan semua pihak mengundi kita tak kira mereka itu ahli atau penyokong Umno BN.

"Tak mungkin kita mahu Allah menghancurkan kawan dan rakan yang kita hendak ajak mereka bersama-sama menghancurkan kezaliman parti Umno BN walaupun mereka ahli dan penyokong parti itu," katanya.

Tambahan pula, kata Mahfuz lagi, ahli-ahli dan para penyokong Umno BN adalah saudara mara ahli-ahli dan para penyokong PAS dan Pakatan Rakyat (PR).

"Tidak mungkin sama sekali kita mahu mendoakan kehancuran saudara mara yang kita kasihi malah yang ingin sangat kita lakukan ialah mengajak mereka sama-sama menghancurkan kezaliman Umno dan BN," katanya.

Mahfuz juga yakin, percubaan untuk mempolitikkan doa memohon kehancuran Umno BN akhirnya akan memakan tuan.

"Kita telah melihat berulang kali propaganda putar belit Umno dan BN akhirnya memakan tuan.

"Propaganda tentang doa ini juga saya yakin akhirnya akan menyedarkan rakyat tentang kezaliman Umno dan BN," katanya lagi.

Share on Myspace