Pengakuan Chua: BN perlu bentang hudud di parlimen

Abdul Aziz Mustafa | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) hendaklah membentang rang undang-undang yang merangkumi hudud untuk menghentikan MCA mempolitikkan hukum itu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Haji Mahfuz Omar.

"Oleh kerana Presiden MCA (Datuk Seri Dr Chua Soi Lek) kata pihaknya hanya menolak hudud versi PAS, (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) selaku ketua kerajaan BN yang diterajui oleh Umno bertanggungjawab membentangkan satu rang undang-undang di Parlimen yang merangkumi perlaksanaan hudud.

"Saya yakin MCA akan menghentikan penentangannya kerana undang-undang berkenaan digubal dan dibentangkan oleh BN dan bukan lagi hudud versi PAS.

"Saya juga yakin MCA tidak akan mempolitikkan hudud lagi jika BN yang menggubal dan membentangkannya untuk diluluskan oleh Parlimen memandangkan Chua sendiri yang menyatakan tidak ada masalah bagi MCA untuk menerima penerangan tentang hukum hudud berdasarkan sumber-sumber Islam yang sebenar," kata beliau.

Serentak dengan itu, Mahfuz meminta BN khususnya Umno dan MCA membuktikan bahawa Rang Undang-Undang Jenayah Syariah yang dibentangkan oleh PAS dan diluluskan oleh dewan undangan negeri Kelantan dan Terengganu tidak berdasarkan sumber-sumber Islam yang sebenar.

"Sekarang Chua bercakap tentang hukum hudud berdasarkan sumber-sumber Islam yang sebenar.

"Saya berharap sangat Chua dan saudara-saudara seperjuangannya di dalam Umno membuktikan tanpa sebarang keraguan berdasarkan hujjah-hujjah yang kukuh bahawa Rang Undang-Undang Jenayah Syariah yang dibentangkan oleh PAS dan diluluskan oleh dewan undangan negeri Kelantan dan Terengganu tidak berdasarkan sumber-sumber Islam yang sebenar.

"Chua dan taiko-taikonya di dalam Umno boleh mengajak (bekas Perdana Menteri, Tun) Dr Mahathir (Mohamad) untuk bersama-sama membuktikan perkara itu memandangkan bekas Presiden Umno itulah yang menjadi pencipta dan pelopor istilah hudud PAS," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz juga berharap Umno menyatakan bahawa ia bersedia menggubal dan membentangkan undang-undang yang merangkumi undang-undang hudud bagi menjaga nama baik agama Islam.

"Di samping melaksanakan kewajipan, Umno bertanggungjawab kepada Allah untuk menggubal dan membentangkan undang-undang yang merangkumi undang-undang hudud bagi menghentikan perbuatan jahat MCA menggunakan alasan hudud versi PAS bagi meneruskan tindakannya menghina Islam dengan menyebarkan ideologi Islamofobia," katanya.

Selagi Umno tidak berbuat demikian, katanya, parti itulah yang bertanggungjawab memberikan ruang dan alasan kepada MCA menggunakan alasan hudud versi PAS bagi meneruskan tindakannya menghina Islam dengan menyebarkan ideologi Islamofobia.

Mahfuz mengingatkan, jika selepas ini MCA terus menggunakan alasan hudud versi PAS untuk menghina Islam dengan menyebarkan ideologi Islamofobia, Umnolah yang bertanggungjawab mendorong MCA berbuat demikian.

"Menggunakan alasan hudud versi PAS bukan sesuatu yang baru malah telah digunakan sejak kerajaan PAS di Kelantan membentangkan Rang Undang-Undang Jenayah Syariah.

"Presidan PAS pada masa itu lagi, Almarhum Datuk Fadzil Noor meminta Umno mengemukakan undang-undang merangkumi hudud yang parti itu yakin berdasarkan Islam sebenarnya," katanya.

Tetapi, kata Mahfuz lagi, Umno sengaja enggan berbuat demikian kerana ia tahu keengganannya itu akan membolehkan alasan hudud versi PAS terus digunakan untuk menghina Islam dan menyebarkan ideologi Islamofobia seperti yang dilakukan oleh MCA.

 

Share on Myspace