KUALA LUMPUR: Kenyataan berterusan oleh pimpinan MCA mempertikaikan hukum-hakam dan perundangan Islam membuktikan Umno tidak menjadikan perkongsian kuasa Barisan Nasional sebagai medium dakwah.

 

 

“Walaupun setelah berpuluh tahun Umno berpakat dengan parti bukan Islam untuk memerintah Malaysia, mereka masih gagal memberi penjelasan tentang Islam yang sebenarnya kepada rakan-rakan politik mereka di kalangan bukan Islam,” kata Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin A. Razali (gambar).

Katanya, kenyataan terkini Presiden MCA, Chua Soi Lek dalam satu video blog mendakwa jika hudud dilaksanakan di negara ini, sebanyak 1.2 juta rakyat Malaysia bakal kehilangan kerja adalah satu lagi bukti kegagalan Umno menyampaikan dakwah Islam.


Hal ini, ujarnya sangat berbeza dengan PAS yang menjadikan Pakatan Rakyat sebagai medium menyampaikan kebaikan Islam dan perundangan Islam kepada bukan Islam.

 

Beliau berkata, hasilnya dalam tempoh 4 tahun kebelakangan ini tidak sedikit pemimpin bukan Islam dalam DAP dan PKR mula bersikap mesra hukum dan perundangan Islam.


“Keadaan ini membuktikan bahawa Tahaaluf Siyasi yang digagaskan oleh PAS telah berjaya mencapai sebahagian matlamatnya iaitu memperkenalkan Islam kepada bukan Islam.

 

“Insya Allah sekiranya rakyat memberi mandat kepada PAS menggantikan Umno dakwah Islam akan lebih lancar di negara Malaysia tercinta ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.



Share on Myspace