hanya laman web ini
36 keluarga penduduk Kg Serai Wangi dan Desa Pengasih tunggu masa untuk rumah mereka dirobohkan. | | KDN rampas akhbar Harakah di empat negeri iaitu Kedah, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan. | | Selepas Adam Adli, Tian Chua dan Haris Ibrahim pula ditangkap. | | Kes Sosilawati: 4 didapati bersalah dan dijatuhi hukuman bunuh.

| Print |

Kertas putih hutang Talam akan dihebah kepada umum

Harakahdaily, 10 Okt 2012

SHAH ALAM: Kertas putih mengenai kutipan hutang Talam telah diserahkan kepada Pejabat Dewan Negeri Selangor bersama-sama dengan laporan audit oleh KPMG dan dokumen-dokumen lain yang berkaitan dengan pembayaran hutang oleh Talam kepada kerajaan negeri.

 

“Kertas putih ini akan dihebahkan kepada umum selepas dibentangkan dalam sidang Dewan Negeri Selangor selewat-lewatnya pada 19 November depan,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan.

 

Katanya, orang ramai yang berminat untuk melihat dokumen ini perlu memohon kepada pejabat Dewan Negeri Selangor selepas ia dibentangkan.

 

Sementara itu, jelasnya siri jelajah penerangan mengenai hutang Talam ke seluruh negeri akan bermula Sabtu ini, 13 Oktober di Kajang.

 

Siri jelajah itu, ujarnya  diadakan secara serentak pada setiap malam Sabtu yang mana empat jurucakap rasmi yang dilantik kerajaan negeri akan berada di tempat berbeza untuk menyampaikan pembentangan.

 

Katanya, kerajaan berharap agar rakyat Selangor yang masih belum memahami isu Talam ini menghadiri sesi penerangan ini untuk mendapatkan maklumat yang betul dan tepat.

 

Menurutnya, pembentang akan menerangkan dari awal hutang ini terjadi sehinggalah kaedah yang digunakan untuk mengutip kesemua hutang RM392 juta.

 

“Kita akan menerangkan juga bagaimana hasil kutipan ini dikembalikan semula kepada rakyat Selangor menerusi program-program di bawah Geran Selangorku terutamanya  membaiki infrastruktur dan kemudahan asas lain.

 

“Dalam perkembangan lain, saya masih menunggu perkenan DYMM Sultan Selangor berhubung cadangan mengadakan sidang khas dewan sebelum 19 November.

 

“Sekiranya cadangan ini mendapat perkenan DYMM Sultan, kita akan bentangkan kertas putih mengenai kutipan Talam pada sidang khas ini bersama-sama dengan satu kertas putih mengenai penstrukturan semula air,” jelasnya.

 

Katanya lagi, kertas putih penstrukturan semula air ini mengandungi segala dokumen hasil perbincangan dengan kerajaan Pusat dan segala surat menyurat yang menunjukkan kerajaan negeri amat komited untuk mengambilalih perkhidmatan air daripada syarikat konsesi.

 

Beliau menjelaskan, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, satu laporan mengenai Program Pendemokrasian “Selangorku Bersih” juga akan dibentangkan pada sidang khas dewan ini.

 

“Selepas pembentangan ini, kerajaan negeri akan menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengadakan perjumpaan bagi membincangkan hasil kajian yang menemui 110,000 nama pengundi yang diragui dan gagal dikesan,” katanya.

 

 

PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

Share on Myspace
template joomla