GEORGE TOWN: Lim Guan Eng ingin mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan agar menamakan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebagai Lapangan Antarabangsa Pulau Pinang P. Ramlee demi mengenangkan jasa seniman terunggul ini dan menggalakkan kerja pembesaran dijalankan dengan baik dan elok secara bertaraf antarabangsa.

 

“Pulau Pinang amat bangga bahawa Allayarham Tan Sri P. Ramlee adalah anak negeri Pulau Pinang yang dibesarkan dan belajar di sini,” ujar Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

 

Menurutnya, masih ada ramai yang tidak tahu bahawa P. Ramlee berasal dari Pulau Pinang dan bahawa masyarakat majmuk dan terbuka serta menggalakkan pembentukan bakat yang wujud pada masa itu di Pulau Pinang membolehkan P. Ramlee menrealisasikan potensinya sebagai seniman, pelakon, pemuzik dan penyanyi yang paling cemerlang dalam sejarah Malaysia, P. Ramlee pernah dipilih pelakon terbaik Asia.

 

Katanya, memandangkan beliau dikenali umum di peringkat antarabangsa adalah wajar nama beliau terukir di peringkat antarabangsa seperti lapangan terbang yang berhubung kait dengan pentas dunia.

 

Pada masa yang sama, ujarnya keadaan kerja semasa membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa sebanyak RM250 juta di luar atau di dalam agak kurang memuaskan dengan kebocoron air hujan, kualiti kerja kurang baik dalam banyak aspek, kelambatan siap kerja dan pengurusan kerja yang mengganggu penumpang-penumpang.

 

“Terlalu banyak aduan diterima bukan sahaja daripada penumpang tetapi juga daripada pekerja-pekerja dalam lapangan terbang tersebut,” ujarnya.

 

Justeru, kata beliau adalah diharapkan pihak berkuasa Kerajaan Perseketuan boleh menjalankan semakan setiap minggu untuk mengenal pasti masalah tersebut yang timbul agar ia tidak ditutup begitu sahaja.

 

“Kebimbangan semua pihak adalah bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang P. Ramlee ini akan menjadi suatu lapangan terbang bermasalah sebaik ia siap kelak,” katanya.

Share on Myspace