Pembahagian kerusi selesai tahun lepas di Perlis
| Harakahdaily, | 13 Sep 2012 |
KANGAR: Pakatan Rakyat Perlis sudah selesai membuat pembahagian kerusi di kalangan mereka sejak tahun lepas lagi.Demikian beritahu Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin (gambar) dalam pertemuan dengan Harakahdaily di pejabatnya baru-baru ini.
Ustaz Hashim memberitahu, surat persetujuan telah ditanda tangani oleh semua pemimpin Pakatan dari PAS, PKR dan DAP di Perlis mengenai pembahagian kerusi itu.
Salinan persetujuan itu telah disimpan oleh semua parti-parti komponen Pakatan manakala salinannya telah dihantar ke pejabat agung PAS di Kuala Lumpur.
Dalam persetujuan itu, semua parti Pakatan telah tahu kerusi mana akan ditandingi oleh parti-parti Pakatan.
"Atas dasar itulah, semua bakal-bakal calon PAS telah tahu mereka akan dicalonkan dan sudah mula bekerja sejak tahun lepas," katanya kepada Harakahdaily.
Perlis mempunyai 15 kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen iaitu Kangar, Arau dan Padang Besar.
Ketiga-tiga kerusi itu kini di wakili oleh BN manakala PAS menang dua kerusi DUN iaitu Sanglang dan Simpang Empat.
Beliau sendiri menang di Sanglang manakala Rus'seli Eizan menang di Simpang Empat.
Ketika mengumumkan keputusan, SPR mengumumkan calon BN menang tetapi selepas dibawa ke mahkamah, Hashim diisytiharkan sebagai pemenangnya.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

