Mansuh: Ada pihak cuba justifikasi ISA penting
| Anis Nazri, | 13 Sep 2012 |
KUALA LUMPUR: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mendakwa terdapat pihak yang cuba menjustifikasikan kepentingan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), walaupun ia dimansuhkan.
Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata perkara itu dapat dilihat dari laporan New Straits Times (NST) yang memetik kenyataan pegawai kem yang mengatakan tahanan ISA masih terbabit dengan jenayah walaupun berada dalam tahanan.
Tegas beliau, NST yang bertarikh 10 dan 11 September itu juga melaporkan dalam salah satu laporannya bertajuk Making Millions From Behind Bars, tahanan yang terlibat dengan pemerdagangan orang itu dikatakan masih berhubung dengan sindiket dan dapat dikesan melalui panggilan telefon antara tahanan dan individu terlibat.
Pegawai terbabit juga menjelaskan jenayah seperti ini sukar untuk dibawa ke mahkamah kerana bukti yang diperolehi hanya sekadar dari pintasan panggilan telefon dan perisik yang melakukan risikan ke atas aktiviti terbabit yang berkemungkinan tidak boleh diterima sebagai bahan bukti di mahkamah.
"GMI percaya hal ini sengaja dibangkitkan dengan tujuan untuk menunjukkan betapa ISA penting bagi mengekang perilaku jenayah tegar, sedangkan ISA sudah dimansuhkan," tegas beliau pada sidang media badan anti-ISA itu, di Dewan Himpunan Cina, pagi tadi.
Tambah beliau, kenyataan yang menyatakan tahanan masih meneruskan jenayah dari dalam tahanan juga boleh diragui kerana setiap panggilan yang dibuat akan dikawal rapi.
Sekiranya panggilan yang dibuat disyaki boleh mendatangkan risiko, tegas Syed Ibrahim maka panggilan tersebut akan ditamatkan.
"Bahkan, surat-surat yang dikirim juga akan ditapis oleh pihak kem. Jika benar seperti mana yang didakwa pegawai terbabit, ia membuktikan segala mekanisme yang terpaksa tahanan lalui seperti kurungan sendiri (solitary confinement) penyeksaan fizikal, penderaan mental dan program rehabilitasi seolah-olah gagal menangani risiko jenayah," tambah beliau lagi.
Sehubungan itu, GMI menolak kenyataan ini dengan berpendirian pihak polis bertanggungjawab mencari bukti kesalahan dan seterusnya membawa tertuduh ke mahkamah.
Dalam pada itu, Syed Ibrahim juga berkata tahanan ISA yang ditahan atas dakwaan pemerdagangan manusia juga wajar dibebaskan atau dibicarakan ke mahkamah selaras dengan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.
Bakri, dalam kenyataannya yang dipetik Malaysiakini pada 12 Sept lalu sebagai berkata, polis yakin undang-undang sedia ada khususnya Akta Pemerdagangan Orang 2007 sudah memadai untuk mengekang pemerdagangan dan penyeludupan manusia.
"Sehubungan itu, untuk kesekian kalinya, GMI mendesak kerajaan, khususnya Kementerin Dalam Negeri segera membebaskan kesemua tahanan ISA dan menyiasat segala penyeksaan yang berlaku terhdap tahanan ISA," ujarnya.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

