BACHOK: Rakyat Bachok melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan anggota parlimen kawasan itu, Nasaruddin Mat Isa yang dianggap mereka sebagai mencemarkan maruah perjuangan.

 

Kata mereka bukan sahaja tidak sopan, sebaliknya tidak memikirkan susah payah penyokong PAS di peringkat akar umbi memenangkannya pada pilihan raya umum lalu.

 

Pesara tentera, Othman Ismail (gambar) ketika ditemui memberitahu, peringkat awal kemenangannya Nasharuddin mempamerkan ciri-ciri seorang wakil rakyat yang baik.

 

Bagaimanapun katanya, masuk tahun ketiga dan keadaan lebih parah selepas gagal mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden PAS.

 

“Surat untuk Ustaz Nasauddin dah bertimbun di pejabat PAS Bachok, beliau tak datang dan tak jenguk pun,” ujarnya yang juga bertugas sebagai setiausaha kerja PAS kawasan berkenaan.

 

Nasharuddin dalam kenyataan ketika bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Makkah semalam dilaporkan mahu PAS menyatakan pendirian sebenar kerana DAP menolak penubuhan negara Islam atau PAS keluar daripada Pakatan Rakyat.

 

Seorang pendakwah Ustaz Rosdi (gambar) turut melahirkan rasa terkilan terhadap Nasharuddin kerana tidak lagi bertanya khabar tentang rakyat.

 

“Saya juga masih teringat pesanan Ustaz Nasharuddin pada saya sebelum ini supaya jangan menyokong Umno dan BN kerana mereka menentang hudud.

 

“Jadi saya harap Ustaz Nasa berpegang teguh pada kata-katanya sebelum ini walaupun sering bersama Perdana Menteri sejak akhir-akhir ini,” ujarnya.

 

Seorang lagi penduduk, Zulkifli meminta Nasharuddin bertemu dan berbincang dengan anggota parti dan bukannya mengkritik dalam media berhubung sesuatu dasar parti.

 

Seorang pemuda, Nazri Ismail turut melahirkan rasa kecewanya terhadap tindak tanduk Nasharuddin sekarang.

 

“Walaupun kita tidak tahu tujuan sebenarnya, tetapi sudah nampak janggal sangat,” katanya.