Komen terhadap Chong Wei, Manoharan mohon maaf
| Harakahdaily, | 07 Ogs 2012 |
KUALA LUMPUR: Selepas dikritik banyak pihak termasuk pimpinan Pakatan Rakyat sendiri, Adun Kota Alam Shah, M. Manoharan akhirnya memohon maaf kepada pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.
"Saya secara ikhlas berharap permintaan maaf saya akan diterima," kata beliau menerusi Twitter tengahari ini.
Permohonan maaf itu ekoran tindakan beliau sebelum ini mengeluarkan komen berhubung kekalahan tipis Chong Wei itu kepada Lin Dan di temasya Olimpik 2012 kelmarin yang kemudiannya dikritik hebat.
Dalam kenyataan yang juga dibuat melalui twitter itu kelmarin, dia mengatakan Lin Dan telah menang dan dia bermain lebih baik daripada "Lee Chong AWAY...".
Kenyataannya itu menimbulkan kemarahan peminat sukan badminton tanah air yang kemudian tampil mengkritik sikap wakil rakyat itu.
"Saya amat menyesal dengan komen-komen yang saya keluarkan dan menghulur permohonan maaf sepenuh hati kepada Datuk Lee Chong Wei dan keluarganya," kata beliau lagi.
Pagi ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut mengecam kenyataan Manoharan semalam yang menyifatkannya sesuatu yang sangat tidak sensitif.
Kecaman sama turut diutarakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui twitternya hari ini yang menyifatkan ulasan wakil rakyat DAP itu sebagai tidak bijak.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

