Mahasiswa Kuis desak RRSB turun yuran asrama
| Harakahdaily, | 02 Ogs 2012 |
KUALA LUMPUR: Gerakan Demi Mahasiswa KUIS (DMK) mendesak agar pihak bertanggungjawab menangani masalah yuran asrama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).
Koordinator DMK, Azrul Tahir (gambar) berkata, setelah selesai dialog mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) bersama mantan Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor Rafizi Ramli pada 31 Julai lalu memberi pencerahan kepada mahasiswa terhadap kondisi sebenar kenapa yuran asrama dikenakan cas yang mahal.
Hasil pertemuan dialog itu, katanya Syarikat Redha Resources Sdn Bhd (RRSB) sewajarnya segera memberhentikan kadar nilai yang tinggi itu supaya mahasiswa dapat membayar yuran dengan harga yang berpatutan.
“Kami mahasiswa KUIS tidak sesekali akan undur jika yuran asrama masih dikenakan cas nilai yang tinggi oleh pihak RRSB kepada harga yang rendah,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Oleh itu, jelasnya pihak RRSB wajar mendengar rintihan daripada mahasiswa tatkala kebajikan mereka dicabul malah menjadikan pendidikan sebagai perniagaan.
Katanya, jika benar pihak terbabit mewakili rakyat bagi Adun Permatang yang prihatin kenapa hak kebajikan pelajar ditekan dengan nilai yang tinggi.
“Bukankah janji ditepati itu sebagai asas kerajaan Umno membela hak rakyat?
“Apakah dengan yuran asrama Kuis masih nilainya tinggi ini sudah membuktikan yang kerajaan Umno sudah tepati janjinya kepada kebajikan dan hak rakyat dan pelajar?” tanya beliau.
Oleh yang demikian, katanya DMK dan Solidiriti Mahasiswa Malaysia (SMM) mendesak agar pihak bertanggungjawab menangani masalah itu dengan segera.
“Kami DMK akan mengumpul segera tandatangan (referendum) seluruh mahasiswa, tenaga pengajar, dan pihak pentadbiran sebagai tanda sokongan kami warga Kuis yang komited terhadap penurunan harga yuran asrama,” katanya.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

