Budaya kerajaan belanja akan mufliskan negara
| Mohd Azmi Abdul Hamid, | 24 Jul 2012 |
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) meneliti bahawa kerajaan di bawah Barisan Nasional kini mempunyai rekod budaya berbelanja yang sangat tinggi.
Jika trend ini berterusan negara ini akan mengarah kepada situasi ekonomi dan kedudukan kewangan yang sangat mudah terjejas oleh ketidakstabilan ekonomi dunia dan boleh menjadi muflis jika ia tidak dibendung.
Di satu segi PM sentiasa mengutarakan wawasannya untuk menjadikan negara sebagai negara berpendapatan tinggi namun di satu segi pula kerajaan menunjukkan contoh yang buruk dari segi perbelanjaan yang sangat tinggi.
Ternyata usaha mencapai negara berpendapatan tinggi akan menjadi sia-sia jika budaya berbelanja tinggi juga dijalankan serentak.
Kerajaan harus mengambil iktibar dari kejatuhan ekonomi Eropah yang menunjukkan contoh yang buruk dalam modelnya yang merangsang rakyat berbelanja tinggi untuk mengharapkan pertumbuhan ekonomi. Akhirnya seluruh ekonominya berhadapan krisis kewangan kerana tidak dapat mengendalikan hutang bank yang berada di kemuncak yang tinggi.
Kini keadaan di negara seperti Itali, Portugal, Perancis sedang menghadapi ekonomi yang parah kerana dasar berbelanja yang tinggi digalakkan dan dengan masa yang sama pengurusan hutang di bank tidak terkawal.
Akhirnya seluruh sistem kewangan di institusi kewangan merudum jatuh. Sekarang untuk mengamal dasar perbelanjaan berjimat cermat yang terpaksa dijalankan oleh kerajaan telah menimbulkan kemarahan rakyatnya sendiri.
PM di akhir-akhir ini jelas tidak berhemat dalam mengumumkan pelbagai skim baru untuk meraih sokongan rakyat dalam PRU ke 13. Perbelanjaan yang tinggi diguna untuk memeriahkan acara pelbagai perhimpunan dan pelancaran untuk menunjukkkan rakyat menyokong BN.
Namun berjuta-juta wang rakyat diguna untuk majlis-majlis bersama PM yang akhirnya membebankan perbendaharaan.
Belum lagi krisis perbelanjaan oleh beberapa pemimpin kerajaan yang kini didedahkan dan ada yang diheret ke mahkamah. Ditambah buruk lagi perbelanjaan tinggi PM dan rombongan beliau bila keluar negara juga amat membebankan kewangan negara.
Jelas zaman PM dalam penggalnya yang pertama menunjukkan sikap berbelanja yang tidak terbatas sehingga Rang Undang-undang Perbelanjaan Tambahan sering dibentang setiap kali sidang parlimen. Sebab itu tidak mengejutkan belanjawan negara sentiasa berhadapan dengan defisit berturut-turut tahun.
Apakah ini contoh sebuah kerajaan yang sebenarnya mengutamakan rakyat sedangkan nasib mereka akan sengsara di masa akan datang bila kerajaan tidak lagi mempunyai wang yang cukup untuk mentadbir negara?
Apakah PM cuba mengambil pendekatan berbelanja semaksimanya untuk memenangi pilihanraya dan bila menang rakyat akan dipaksa menanggung segala beban hutang kerajaan dengan cara menaikkan cukai dan memotong subsidi?
Mapim mengesa kerajaan agar segera mengubah dasar perbelanjaan negara kepada dasar berjimat cermat. Jika benar rakyat mahu didahulukan bukan dengan cara mengeringkan perbendaharaan negara tetapi dengan cara perbelanjaan yang mapan.
Penulis ialah Setiausaha Agung Mapim.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

