Ramadhan: Bersiap buat perubahan politik negara
| Khairil Abdul Rahim, | 20 Jul 2012 |
TEMERLOH: Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengajak semua pencinta Islam agar sama-sama menjalani Ramadhan kali ini sebagai bulan mempersiapkan diri untuk membuat satu perubahan besar politik negara ini.
Katanya, bagi musuh Islam menganggap Ramadhan sebagai bulan seolah-olah umat Islam lemah, lesu dan letih sebaliknya orang Islam meletakkan Ramadhan bulan jihad sehingga berlakunya siri peperangan sejak zaman Nabi SAW.
“Marilah kita sama-sama menjalani Ramadhan ini sebagai bulan jihad kita untuk mempersiapkan diri bergerak kehadapan membuat satu perubahan besar dalam konteks politik negara kita, mengajak masyarakat balik kepada Islam.
“Kita tidak mengajak masyarakat untuk bermusuh, berpecah belah, atau memfitnah sebaliknya mengajak masyarakat mari kita balik kepada Islam. Apabila kembali kepada Islam insyaAllah bangsa kita akan selamat, negara kita akan selamat dan pemuda kita akan selamat negara akan selamat,” ujarnya dalam Perutusan Ramadhannya.
Tambahnya, Ramadhan kali ini merupakan bulan puasa terakhir sebelum menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 13 justeru diharap dapat meningkatkan semangat jihad menjelang detik-detik penting itu.
Tuan Ibrahim yang juga Pesururuhjaya PAS Pahang berkata, Ramadhan bulan yang memproses dan melahirkan hamba Allah yang bertaqwa, bulan ibadah, Al-Quran, bulan zikrullah, bulan perhambaan bulan, bulan taubat kepada Allah, bulan pembersihan diri daripada dosa dan maksiat dan yang penting menjadikan keazaman kita untuk melakukan yang lebih baik daripada sebelum Ramadhan dan selepasnya.
“Marilah wujudkan suasana ibadah seumpama ada majlis-majlis zikir, tazkirah sebagai satu fenomena baru untuk menambah pengetahuan di samping kita menunggu waktu untuk berbuka.
“Fenomena yang tidak dapat dielakkan apabila masuk Ramadhan kita dapati budaya masyarakat kita yang buka gerai perniagaan satu, itu fenomena yang baik dalam konteks ekonomi tetapi harus kita lihat dalam kita berbuka selepas lebih 12 jam berpuasa bila kita hendak berbuka puasa hendaklah kita memilih, melihat siapa yang menjual kuih tersebut.
“Jangan beli kuih daripada orang yang tidak bersembahyang, jangan beli kuih orang yang tidak takut Allah sebab makanan mempengaruhi jiwa kita, mempengaruhi sikap kita, mempengaruhi kelakuan kita. Jadi makanan tidak baik menjadi darah daging kita,” tegasnya.
Tuan Ibrahim juga menasihatkan agar tidak menjadikan Ramadhan kali ini menjadi pesta makanan, bukan pesta ibadah.
Katanya, sebahagiannya begitu sibuk daripada sebelum Asar lagi sudah membuka gerai kemudian sampailah habis Maghrib. Walaupun ruang mencari rezeki ini sangat baik tetapi dalam waktu yang sama setiap penjual mestilah memahami menjual kepada orang yang mahu berbuka puasa.
Mereka sepatutnya berlumba untuk mendapat pahala daripada apa yang dijual dan mendapat untung apa yang dijual, mudah-mudahan kedua-duanya mereka dapat.
“Selamat menyambut Ramadhan mudah-mudahan diterima ibadah puasa bulan yang penuh keberkatan yang mendapat natijah dengan tahajudnya, dengan zikrullahnya, dengan muhasabahnya. Seluruhnya akan menyebabkan kita dekat kepada Allah dan bertambah .
“Bagi pihak Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang saya mengucapkan selamat menyambut Ramadhan kepada seluruh ahli PAS, para penyokong dan seluruh umat Islam,” katanya.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.


