PKNK beli saham FGVH patut jadi pengajaran
| Anis Nazri, | 18 Jul 2012 |
Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata biarpun mengalu-alukan keputusan kerajaan negeri yang meminta Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) menjual semula saham tersebut, lukanya begitu terasa.
"Adalah satu perkara yang malang apabila pegawai kerajaan itu membuat keputusan tanpa meneliti dan memahami aspirasi yang diperjuangkan GSF dan Anak, yang didukungi Pakatan Rakyat," kat beliau pada sidang media, di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.
Tambah beliau, alasan pembelian itu yang dikatakan meneliti aspek keuntungan itu jelas menunjukkan tiada sikap tanggungjawab sosial di kalangan pegawai terbabit.
Tidak berniat untuk melebarkan polemik tersebut, Mazlan mengharapkan perkara ini menjadi satu pengajaran dalam konteks Pakatan Rakyat supaya sebarang polisi yang berkaitan di peringkat pusat diteliti dengan cermat.
Katanya, beliau sendiri pada mulanya enggan mengulas berkenaan hal tersebut, namun terdapat beberapa desakan daripada ahli-ahli Anak yang mencecah 100 cawangan di seluruh negara untuk beliau menyatakan pendirian.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat turut menggesa PKNK untuk memohon maaf berhubung isu terbabit.
"Biarpun perkara ini membabitkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat, kita tidak hipokrit, tidak mahu melindungi sesiapa. Dan inilah kelebihan Pakatan Rakyat berbanding BN," tegas beliau lagi.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

