Projek lereng bukit 'bangkai dinosaur' Umno BN
| Harakahdaily, | 19 Jul 2012 |
GEORGE TOWN: Rekod Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mendedahkan, kesemua 37 projek di kawasan lereng bukit berketinggian melebihi 250 kaki dekat Bukit Bendera diluluskan semasa Umno Barisan Nasional menguasai Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Timbalan Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Pemuda PAS Pulau Pinang, Dzulfahmi Abu Bakar berkata, 19 kelulusan yang diberikan selepas Mac 2008 oleh MPPP adalah projek khas yang telahpun diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang era Barisan Nasional sebelum Mac 2008 berdasarkan garis panduan geo-teknikal biasa majlis
“Bagi saya, sepatutnya, pemimpin Umno dan Barisan Nasional dari awal lagi tidak meluluskan kesemua projek misteri itu,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.
Ini katanya kerana kesemua projek itu membahayakan keselamatan rakyat setempat serta memusnahkan keindahan alam sekitar di negeri ini.
Menurutnya, Umno dan Barisan Nasional menutup semua itu untuk kelemahan mereka.
Beliau berkata, pemimpin Umno dan Barisan Nasional tertentu itu seakan cuma menjadikan MPPP sebagai kambing hitam sebab mereka tahu majlis hanya memperbaharui kelulusan operasi pelan projek sahaja.
Katanya, pemimpin Umno dan Barisan Nasional berbuat demikian kerana mereka tahu Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak mungkin akan membatalkan projek-projek lereng bukit itu sungguhpun pentadbiran Ketua Menteri Lim Guan Eng sebelum ini mengaku sangat simpati dengan keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.
“Jika pemimpin Pakatan Rakyat mahu membatalkan serta-merta semua projek ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memerlukan pampasan beratus juta ringgit hatta berbilion ringgit yang mungkin memufliskan negeri bagi menghadapi risiko saman oleh pemaju-pemaju berwajib,” ujarnya lagi.
Justeru, katanya Umno dan Barisan Nasional menuduh Kerajaan Negeri Pulau Pinang era Pakatan Rakyat di kampung-kampung sekarang ini untuk menutup 'bangkai dinosaur' yang dilakukan oleh Barisan Nasional semasa menguasai kerajaan negeri dulu.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.


