Kami anjur Jelajah Munajat Perdana Mansuh ISA
| Harakahdaily, | 10 Jul 2012 |
KUALA LUMPUR: Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) akan menganjurkan satu lagi program bagi menyatakan sokongan kepada rakyat dan mangsa tahanan ISA.
Presidennya, Haziq Abdul Aziz (gambar) berkata, ini rentetan daripada kejayaan himpunan mansuh ISA di hadapan Kem Tahanan ISA, Kamunting, Perak Ahad lepas,
Katanya, Kami akan mengadakan program ‘Jelajah Munajat Perdana Mansuh ISA’ di setiap daerah bermula pada 14 Julai ini di Klang diikuti di Shah Alam, Selangor.
“Program ini diadakan bagi mengutip dana bagi mangsa-mangsa tahanan ISA yang dizalimi,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Selain itu, jelasnya acara solat hajat juga akan diadakan di samping ceramah isu ISA yang bakal dikendalikan oleh mahasiswa, pemimpin politik, peguam dan juga bekas tahanan ISA bagi memberikan penerangan berkenaan dengan isu itu.
“Kami juga ingin menyatakan pendirian bahawa undang-undang ISA ini wajar dimansuhkan secara total memandangkan pemansuhan yang dilaksanakan sebelum ini tidak lebih daripada retorik semata-mata apabila pihak kerajaan masih mengamalkan konsep ‘tahanan tanpa bicara’,” jelasnya.
Ini, ujarnya adalah berlawanan dengan konsep ‘natural justice’ yang diamalkan dalam sistem perundangan dalam negara ini.
Justeru, kata beliau pihaknya menyeru seluruh masyarakat supaya hadir ke program tersebut bagi menyatakan sokongan terhadap tahanan ISA yang dizalimi serta dikekang hak asasinya.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

