Dun Melaka gantung Adun DAP 6 bulan
| Ahmad Danial, | 04 Jul 2012 |
MELAKA: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri dari DAP digantung 6 bulan oleh Speaker DUN Melaka, Datuk Othman Muhammad.
Semua Adun terbabit ialah Adun Kesidang yang juga Ketua Pembangkang, Goh Leong San; Adun Kota Laksamana, Betty Chew (gambar); Adun Bachang, Lim Jak Wong; Adun Bandar Hilir, Tey Kok Kiew dan Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong.
Kekecohan dalam Sidang Dun hari ini bermula sebaik Speaker masuk ke dalam Dewan apabila Adun Kota Laksamana, Betty Chew bangkit mempersoalkan laporan akhbar arus perdana semalam yang memuatkan isu peribadi yang dibangkitkan oleh Adun Duyong, Gan Tian Loo.
Semalam Adun DAP tersebut bertindak keluar dewan kerana membantah keputusan Speaker membenarkan media tertentu merakam ucapan wakil rakyat MCA yang didakwa memburuk-burukkan keluarga ADUN Kota Laksamana Betty Chew ketika persidangan semalam.
Dalam persidangan itu, Othman menjelaskan bahawa beliau memberi kebenaran berkenaan kerana percaya dengan etika serta kredibiliti pihak media yang membuat liputan.
Wakil rakyat berkenaan bagaimanapun enggan menerima penjelasan tersebut dan menyifatkan Othman bersubahat dengan media berkenaan mencemarkan nama Chew dan suami wakil rakyat tersebut, Lim Guan Eng yang juga ketua menteri Pulau Pinang.
Dalam sidang medianya semalam, Chew berkata, tindakan berkenaan adalah taktik yang menjijikkan oleh pihak BN untuk memburuk-burukkan keluarganya.
Beliau sekali lagi mencabar Gan untuk mengulangi dakwaan tersebut di luar dewan.
"Saya rasa kalau pemimpin terbabit ada moral, beliau harus ulangi tuduhan itu di luar dewan dan jangan berselindung dalam dewan dan jangan jadi pengecut.
"Saya nak tanya kepada Gan Tian Loo, you adalah seorang bapa dan you ada anak, bolehkah buat fitnah ini semata-mata untuk kepentingan parti," katanya.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

